Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda sedia tempuhi jalan perjuangan yang panjang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malam tadi, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara rasminya dilancarkan dan parti itu menjelaskan betapa ia bersedia untuk menghadapi perjalanan panjang walaupun jika ia berdepan kekalahan dalam pilihan raya.

Ini kerana, menurut parti itu, misi mereka adalah lebih besar daripada menang dalam satu pilihan raya.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap kepada kira-kira 200 ahli dan pimpinan parti yang kebanyakannya dari golongan muda, berkata negara ini akan melihat kaedah baru dalam politik.

“Sudah tiba masanya untuk mencuba taktik baru yang tidak lagi memikirkan untuk menang satu pilihan raya akan datang, kerana proses mengubah Malaysia bukan untuk menang satu pilihan raya bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Walaupun ada pandangan skeptik dan pesimis bahawa rakyat Malaysia tidak bersedia untuk parti berbilang kaum dan agama, terutamanya dalam tujuan untuk mengalahkan Umno, maka ia hujah lebuh kuat untuk parti seperti Muda untuk tidak amalkan politik memenuhi kehendak seperti itu (pandering) tetapi untuk mengubah hati dan minda Malaysia.

“Walau sesukar mana pun, kita akan tunjukkan bahawa kepelbagaian harus didakap dan bukan hanya diterima secara toleransi,” katanya.

Jalan sukar di hadapan

Syed Saddiq mengingatkan bahawa Muda berdepan jalan sukar dan menggesa pemimpin dan ahli parti di semua peringkat untuk memahaminya.

“Kalian tahu bahawa jalan ke hadapan itu panjang dan penuh dengan selok beloknya. Tetapi apabila anda memilih Muda ia menunjukkan anda bukan melabur untuk PRU akan datang tetapi dalam membaik pulih sepenuhnya demokrasi Malaysia.

“(Jika kita) kalah satu pilihan raya, kalah dua pilihan raya, itu demokrasi. Tetapi semangat perjuangan Muda untuk mengubah, merombak Malaysia untuk menjadi negara yang maju, bermaruah berintegriti tidak akan tamat hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya.

"Kita bersama di jalan ini untuk jangka masa panjang. Kita berada dalam perjuangan ini untuk dekad-dekad yang akan datang kerana menyelamatkan dan berjuang untuk Malaysia adalah berbaloi," katanya lagi.

Ahli Parlimen Muar itu mengakui bahawa dia adalah antara pengasas Bersatu - parti berasaskan kaum - tetapi menambah bahawa dia juga ahli pengasas tunggal yang mencadangkan agar ia menjadi parti berbilang kaum dan agama tetapi tidak diterima.

Dia akhirnya dipecat daripada Bersatu.

'Parti orang muda pintar'

Syed Saddiq juga menyorot semula bagaimana dia menjemput Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abd Aziz untuk menyertainya ketika berada dalam Besatu tetapi ditolak kerana tidak selesa berada dalam parti berasasan kaum.

Amira Aisya

Selepas Syed Saddiq disingkirkan dari parti, Amira mencadangkan idea "parti anak muda yang pintar" kepadanya dan berjanji akan menyertainya jika dia bersetuju.

"Pertama kalinya dalam hidup saya, dalam Muda, saya berasa seperti berada di rumah sendiri," kata Syed Saddiq.

Muda mendedahkan setakat ini ia telah mempunyai kira-kira 70,000 ahli.

Syed Saddiq juga berkata 92 peratus daripada ahli Muda tidak pernah menyertai parti politik sebelum ini.

“Muda adalah ‘rumah pertama’ mereka,” katanya.