Skip to main
Logo Malaysiakini

J'kuasa Parlimen gesa kanak-kanak diberi khidmat perundangan percuma

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semua kanak-kanak yang berdepan masalah perundangan diberi khidmat perundangan secara percuma, bermula daripada penahanan hinggalah selesai proses keadilan jenayah.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial berkata ia bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya.

Jawatankuasa yang dipengerusikan Azalina Othman Said itu membuat cadangan tersebut di tengah isu laporan penahanan seorang remaja perempuan yang didakwa menikam bayi yang baru dilahirkannya sehingga mati di Kemaman, Terengganu.

“Jawatankuasa khuatir yang dalam soal ini, tindakan pertama agensi yang terbabit dilihat adalah menahan remaja di semasa dia masih dalam wad neonatal untuk siasatan kes bunuh, tanpa penilaian psikologi yang menyeluruh atau laporan kebajikan sosial dibuat - dan tanpa dia diberikan sebarang perwakilan perundangan atau bantuan psikologi,” kata JPKP dalam kenyataan.

Dalam senarai cadangannya, JPKP berkata perlindungan yang termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 termasukan rawatan ketika dalam tahanan yang mesti dipatuhi sepenuhnya oleh semua penguat kuasa undang-undang.

Ia termasuklah kalangan yang disiasat di  bawah Seksyen 299 hingga Seksyen 318 Kanun Keseksaan diletakkan di bawah pemantauan seorang pelindung serta diberikan sokongan psikologi/psikiatri secara mandatori.

Membangkitkan kes di Terengganu itu, jawatankuasa berkata kes wanita yang didakwa membunuh bayi sendiri adalah kesalahan yang boleh dijamin di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, berbanding Seksyen 302 bagi kes bunuh.

JPKP juga membangkitkan perkaitan antara neonaticide - kes wanita yang membunuh bayinya dalam tempoh 24 jam selepas beranak - dengan mengandung secara rahsia secara melahirkan anak tanpa bantuan perubatan, dengan 1,010 kes buang bayi direkodkan sejak 2010 hingga Mei 2019, dengan 64 peratus daripada bayi ditemukan telah meninggal dunia.

Antara syor lain yang dikemukakan jawatankuasa itu adalah pendidikan menyeluruh berhubung seks, seksualiti dan reproduksi diperkenalkan dalam korikulum sekolah untuk meningkatkan perlindungan kanak-kanak daripada kes rogol statutori, kelahiran luar nikah dan buang bayi.

Selain Azalina, JPKP itu dianggotai Hannah Yeoh (Segambut), Hasan Arifin (Rompin), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Che Alias Hamid (Kemaman), Tarmizi Sulaiman (Sik), Fuziah Salleh (Fuziah), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Alice Lau (Lanang).