Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: NFA laporan terhadap Lalitha atas dakwaan tipu mahkamah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil oleh polis terhadap laporan yang dibuat baru-baru ini terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam kerana didakwa berbohong kepada mahkamah.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan mengesahkan status NFA pada laporan polis 9 Feb yang dibuat terhadap Lalitha di balai polis daerah Sentul oleh pegawai SPRM.

"Untuk makluman laporan yang dibuat di Sentul oleh pengadu di(tandakan) NFA kerana tiada kaitan dengan kes yang di siasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman," kata Jalil kepada Malaysiakini.

Lalitha, yang disaman oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kerana menulis tentang pemilikan sahamnya dalam syarikat tersenarai awam, dalam pernyataan pembelaannya menyertakan huraian tugasnya sebagai penyelidik di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4).

Pegawai yang membuat laporan itu berdasarkan dakwaan dalam kenyataan yang dibuat oleh Pusat C4 bulan lepas, yang mana NGO itu berkata Lalitha telah "berhenti menjadi pekerja di Pusat C4 sejak Dis 2020."

Peguam Lalitha, Manjeet Singh Dillon semalam berkata SPRM mungkin akan didakwa menghina mahkamah berhubung laporan polis itu, kerana perkara berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan mahkamah sivil yang sedang berjalan antara anak guamnya dan Azam.

Azam menyaman Lalitha berhubung dua artikel pemberi maklumat itu yang berjudul, ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part 1)’ dan ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part Two)’.

Artikel itu diterbitkan oleh Independent News Service (INS) yang berpangkalan di Asia hujung tahun lalu.

Lalitha menyatakan dia bersedia untuk melawan tuntutan saman Azam dan membuktikan di mahkamah kandungan artikel dalam taliannya berhubung isu itu.

[Baca berita asal]