Skip to main
Logo Malaysiakini

Lee Boon Chye dilantik pengerusi sementara PKR Perak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR melantik Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye sebagai pengerusi sementara PKR Perak sehingga pemilihan parti diadakan pada April depan.

Lee yang merupakan bekas timbalan menteri kesihatan menggantikan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang bakal mencabar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi jawatan ketua PKR Gombak.

Anwar dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak hari ini.

"Mesyuarat ini telah memuktamadkan beberapa perkara antaranya dengan melantik Dr Lee Boon Chye sebagai pengerusi sementara MPN Perak sehingga tamat pemilihan parti yang akan selesai pada akhir April 2022.

"Pelantikan Lee yang juga ketua Cabang Gopeng ini adalah bagi menggantikan saudara Farhash Wafa Salvador yang telah meletakkan jawatan sebagai ketua Cabang Kuala Kangsar dan ketetapan parti adalah untuk melantik pengerusi MPN hanya di kalangan ketua-ketua cabang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

PKR akan membuat pemilihan bagi penggal 2022-2025 semasa kongres parti itu pada 10 hingga 12 Jun ini.

Kepimpinan negeri bagaimanapun adalah jawatan lantikan.

Terdahulu, sumber memberitahu Malaysiakini yang Farhash setuju untuk digantikan.

"Pucuk pimpinan parti berjumpa dengan Farhash dua hari yang lalu.

"Hasil pertemuan tersebut kedua-dua pihak bersetuju untuk melantik seorang pengerusi interim (sementara) menggantikan Farhash sehingga berlangsungnya pemilihan parti pada April ini," katanya.

Sebelum perkembangan ini, sumber tersebut memaklumkan Ketua Cabang Teluk Intan Muzaffar Shah Khairuddin dan Ketua Cabang Tambun Muhammad Arafat Varisai Mahamad dikatakan antara calon utama untuk menggantikan Farhash.

Selain menentang Amirudin di cabang Gombak dalam pemilihan akan datang, Farhash juga disebut-sebut akan bertanding sebagai timbalan presiden yang kini kosong setelah Azmin Ali keluar PKR pada dua tahun lalu.