Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PBM akan jalani ujian psikometrik antirasuah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Haniza Mohamed Talha berkata partinya akan memastikan calonnya untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini lulus ujian psikometrik antirasuah (RBTAG) seperti yang disyorkan oleh #RasuahBusters.

Haniza yang dipilih sebagai Adun Lembah Jaya di bawah tiket PKR berkata ini selaras dengan aspirasi pengundi yang mahukan pemimpin yang bersih dan bertanggungjawab.

"Johor akan menjadi pilihan raya pertama PBM dan kita mahu calon kita bersih dan bebas rasuah supaya mereka boleh menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sekiranya mereka dipilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haniza menambah bahawa langkah itu bukan sahaja akan membantu meningkatkan integriti semua calon yang berpotensi, tetapi juga membantu mewujudkan pemimpin yang lebih baik.

Ujian psikometrik direka bentuk untuk mengukur keupayaan kognitif dan menunjukkan potensi calon untuk cemerlang dalam jawatan atau kerjaya tertentu.

Pada Khamis, Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid berkata parti itu akan bertanding dua kerusi pada pilihan raya 12 Mac ini.

“PBM akan mengumumkan kerusi yang akan ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon 26 Feb,” tambahnya.

Menurut Zakaria, PRN Johor adalah platform terbaik untuk parti itu memperkenalkan agenda "Great Reset 2030", yang merangkumi enam tonggak utama.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi ​​Hasan berkata kesediaan pimpinan PBM Selangor menjadikan mereka parti politik ketiga selepas Bersatu dan Parti Pejuang yang bersedia melaksanakan ujian terhadap kepimpinan parti atau calon pilihan raya.

Pada Khamis, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata ini bagi memastikan calonnya bersih dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah selain mempunyai kredibiliti yang tinggi.