ULASAN | ‘Pecah undi’ - PN pegang kunci nasib BN di Johor
ULASAN | Semasa PRN Melaka, BN telah mendapat hanya 38 peratus undi popular namun memperolehi majoriti 2/3 kerusi di DUN Melaka. Keadaan ini mungkin dianggap pelik, namun itulah hakikatnya.
Ianya berlaku kerana undi yang menolak BN telah berpecah di antara PH, yang mendapat 37 peratus dan PN, yang mendapat 25 peratus undi popular.
Memecahkan ‘undi menolak BN’ adalah peranan yang dimainkan oleh PN dan inilah apa yang diharapkan oleh para strategis BN. Dan inilah apa yang telah berlaku. Apabila ‘undi menolak BN’ berpecah, maka BN akan menang walaupun tidak popular di kalangan majoriti pengundi.
Di Melaka 62 peratus pengundi menolak BN, namun hasil strategi pecah dan perintah ini, BN muncul sebagai pemenang dengan penuh bergaya. BN menang dengan mencapai 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Melaka!
Sebenarnya strategi yang sama telah diusahakan BN semasa PRU14. Pada masa itu PAS digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan dipikat BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR).
Harapan BN adalah, dengan itu PR akan kalah di Pantai Barat kerana PR akan kehilangan undi PAS. Sambil itu, PAS akan kalah di Pantai Timur kerana kehilangan undi PR.
Strategi ini gagal apabila pembentukan PH bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan PPBM (Bersatu) telah berjaya dilakukan.
Akibatnya, di Pantai Barat, undi BN sendiri telah berjaya dikurangkan apabila sebahagian pengundi BN mengundi PH dan undi PH melebihi undi BN walaupun PH telah kehilangan undi PAS.
Sebagai contoh, di Shah Alam, undi BN telah berkurangan dari 38,000 semasa PRU13 ke hanya 22,000 pada PRU 14.
Maka, walaupun PH telah kehilangan 15,000 undi PAS, namun PH mendapat undi tambahan sebanyak 16,000, iaitu dari pengundi yang telah undi BN pada PRU 13.
Di Pantai Timur, strategi ini telah gagal juga kerana pengundi PH mampu membaca strategi BN. Kebanyakan dari mereka telah memutuskan untuk tidak mengundi PH pada PRU14 kerana kalau itu dilakukan maka BN akan menang.
Secara sedar, mereka mengundi PAS kerana pada ketika itu PAS tetap dianggap lebih baik dan kurang mudaratnya berbanding BN. Oleh itu ‘undi tolak BN’ berjaya disatukan di Pantai Timur menghasilkan kemenangan PAS.
‘BN buang PAS, Bersatu’
Namun demikian, malangnya, PAS setelah menang lupa daratan dan sanggup terus diperalatkan BN sehingga digelar sebagai sekadar ‘bohsia’ dan 'pelacur' oleh pimpinan BN.
Dalam suasana dan realiti sebegini, PN sebenarnya memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor. Setelah puas digunakan oleh BN, PAS dan Bersatu sekarang ini ingin dibuang oleh BN.
Ini jelas berlaku di Melaka di mana selepas PRN Melaka, dua Adun Bersatu diabaikan BN dan mereka duduk bersama pembangkang yang diketuai YB Adly Zahari.
PN terus dihina BN dengan gelaran-gelaran memalukan dan diperlakukan sebagai kumpulan yang tiada nilai dan tidak bermaruah. Ini dilakukan walaupun BN masih memerlukan sokongan PN di Putrajaya.
Hina sungguh PN dilakukan sedemikian rupa oleh BN namun BN yakin PN tidak akan bertindak balas kerana perkara yang amat sangat disayangi mereka sedang dipegang kemas oleh BN.
Mereka tidak mampu melawan balik, selain mengeluarkan kata-kata manja memujuk dan merayu.
Namun, sepertimana saya sebutkan tadi, sebenarnya PN memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor.
Sekiranya PN tidak lagi sanggup diperalatkan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ maka BN akan dapat dikalahkan di Johor!
PN kena akui, peranan yang dimainkan mereka di Melaka akan berulang di Johor. Sepertimana di Melaka, PN tidak mampu mengatasi undi BN dan PH.
Akhirnya BN juga akan menang kerana PN bertindak sekadar pemecah ‘undi menolak BN’.
Dan dengan kemenangan BN itu, PN akan terus dihina dan diperlekehkan serta nilai yang ada pada PN tidak akan disedari atau dihargai. Dan seterusnya, begitu jugalah kisahnya pada PRU15 kelak!
PRU15 mungkin terhasil apabila PN tidak lagi tahan dengan penghinaan dan jolokan pemimpin-pemimpin BN dan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Atau apabila BN sendiri menganggap ianya sesuai diadakan setelah PN terus berpaut untuk bersama walaupun dihina dan diperlekeh setiap hari dan ketika.
Pada PRU15 itu, akan berulang kembali suasana yang sama dan PN akan kalah sekali lagi dan dipinggirkan seperti di Melaka dan juga semestinya, di Johor.
Oleh itu saya harap PN memahami betapa mereka telah dan sedang digunakan oleh BN untuk memuaskan nafsu BN untuk berkuasa bersendirian.
Dengan itu PN perlu hentikan dirinya dipergunakan sebegitu rupa dan menzahirkan diri sebagai parti yang bermaruah dan mempunyai harga diri.
Hentikan diri dari digunakan sebagai pemecah ‘undi menolak BN’ dengan tidak bertanding dalam PRN Johor. BN akan kalah dan dengan kekalahan ini BN akan kembali merayu dan memujuk PN untuk bersama dalam PRU 15. Baru akan terzahir nilai tambah yang dibawa PN.
Mungkin apa yang dicadangkan akan dilihat agak ekstrim oleh sebahagian pimpinan PN. Namun ini sahaja caranya untuk mengajar BN yang telah puas memperalatkan PN dari sejak ‘Langkah Sheraton’.
Perlu diperakui kelicikan BN. Menyokong PN pada awalnya hanya untuk muncul sebagai juara akhirnya.
Pepatah Melayu menyebut, “sokong membawa rebah” dan inilah nasib PN di tangan BN. Disokong pada awalnya supaya PH dijatuhkan dan akhirnya dijatuhkan pula PN dengan penuh hina dan nista.
Saya ulangi, PN pegang kunci kepada kekalahan BN di Johor. Kalau PN boycott PRN Johor, ‘undi tolak BN’ akan menyatu dan BN akan dikalahkan. Baru BN tahu langit tinggi atau rendah dan datang melutut kepada PN untuk bersama dalam menghadapi PH semasa PRU 15.
KHALID ABD SAMAD ialah Pengarah Komunikasi Amanah dan Ahli Parlimen Shah Alam.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai