Skip to main
Logo Malaysiakini

Wisma Putra digesa perhalusi isu pengiktirafan sijil vaksin M’sia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemuda Umno menggesa Wisma Putra memperhalusi dan berbincang dengan negara anggota Asean berhubung isu pengiktirafan sijil vaksin yang dikeluarkan negara dalam MySejahtera.

Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Umno, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, berkata Wisma Putra perlu memandang serius insiden pelancong dari Malaysia tidak dibenarkan masuk ke Filipina.

"Wisma Putra hendaklah memandang serius terhadap perkara ini dan Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menggesa agar isu pengiktirafan sijil vaksin ini diperhalusi dan dibincang di peringkat antarabangsa khususnya Asean dengan kadar segera.

"Bagi memastikan diskriminasi seperti ini tidak berlaku lagi yang sudah terang melanggar piawaian yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan Filipina tidak seharusnya menafikan hak pelawat antarabangsa kerana hak tersebut telah pun ditetapkan oleh kerajaan Filipina sendiri dan komuniti antarabangsa yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, The Star melaporkan 15 pelancong dari Malaysia disekat daripada memasuki Filipina sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila Ninoy Aquino apabila sijil vaksin digital dalam MySejahtera mereka tidak diterima sebagai bukti bahawa mereka telah divaksin.

Dalam pada itu, Ikmal Hazlan berkata semua pihak maklum bahawa jenis vaksin yang disediakan oleh kerajaan Malaysia adalah yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

"Pertikaian berkenaan kesahihan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tidak berasas kerana ianya turut diterima pakai oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan Singapura," katanya.