Skip to main
Logo Malaysiakini

PH gesa KPM umum langkah bagi calon SPM terkesan Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pendidikan PH menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat pengumuman segera mengenai langkah yang diambil susulan penularan Covid-19 dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam kenyataan bersama hari ini, jawatankuasa itu memberitahu pihaknya mendapat maklumat bahawa jangkitan Covid-19 melibatkan calon SPM telah meningkat.

"Hal ini mendorong kesiapsiagaan mereka untuk menduduki Ujian Amali dan Ujian Mendengar/ Bertutur yang sedang berlangsung terjejas.

"Lebih merisaukan lagi, calon SPM yang dijangkiti Covid-19 mahupun kontak rapat kepada pesakit Covid-19 perlu dikuarantin mengikut jangka masa yang ditetapkan, menyebabkan calon tidak dapat menduduki ujian-ujian yang sedang berlangsung," kata kenyataan tersebut.

Tambah mereka, maklumat yang diperoleh juga mendapati Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) belum menetapkan kaedah penggantian menduduki ujian jika calon tersebut tidak dapat menduduki ujian pada tarikh asal disebabkan kuarantin.

Justeru Jawatankuasa Pendidikan PH mendesak KPM dan LPM memberikan penjelasan segera sama ada bolehkah calon menduduki ujian semula atau tiada sesi ulangan yang disediakan buat mereka?

"Yang lebih penting, kami mendesak KPM dan LPM mengumumkan perancangan kontingensi jika calon SPM tidak boleh menduduki pentaksiran berpusat mulai bulan Mac ini jika mereka dijangkiti mahupun kontak rapat pesakit Covid-19," tegas kenyataan itu.