Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjual nasi lemak didenda RM50,000 anjur main kutu di Facebook

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penjual nasi lemak hari ini didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth kerana menganjurkan kumpulan wang kutu melalui laman sosial Facebook.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Jaimah Kamarudin, 38, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, dan wanita itu membayar denda.

Nor Jaimah didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu, dengan mereka dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kubang Semang, Bukit Mertajam antara Januari hingga Ogos 2018 mengikut Seksyen 3(1) Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Nor Jaimah memohon hukuman ringan kerana anak guamnya merupakan seorang peniaga nasi lemak di gerai tepi jalan dan itu adalah kesalahan pertamanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Mohd Iqbal Mohd Yusoff pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam supaya tidak terbabit dalam kegiatan itu.

Dia berkata kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius kerana ia bukan kaedah kutu tradisional.

Mengikut fakta kes OKS telah menggunakan akaun banknya bagi tujuan penerimaan dan pembayaran hasil wang kutu itu yang terkumpul dari peserta kumpulan dari Januari hingga Ogos 2018.

Di luar mahkamah Mohd Iqbal memberitahu pemberita bahawa duit kutu dalam kes itu melebihi RM100,000.

-Bernama