Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua Hakim Syarie fail penghakiman ingkar ke atas Lokman Adam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua hakim Syarie, Mohd Na’im Mokhtar telah memfailkan penghakiman ingkar (JID) dalam saman fitnah RM30 jutanya terhadap bekas anggota majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Plaintif diwakili peguam dari firma guaman Akberdin & Co memfailkan permohonan itu secara dalam talian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur malam semalam.

Di bawah undang-undang tindakan sivil, plaintif boleh memfailkan permohonan JID jika defendan telah memfailkan kehadiran dalam tindakan undang-undang, tetapi masih gagal memfailkan pernyataan pembelaan.

Plaintif, yang juga ketua pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, mengemukakan saman terhadap pemimpin Umno itu atas dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita, termasuk seorang 'Datin'.

Permohonan JID Mohd Na’im adalah disebabkan kegagalan Lokman memfailkan pernyataan pembelaan dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu pada 11 Februari lalu.

Menurut salinan permohonan JID yang disediakan kepada media pagi ini, plaintif berhujah bahawa "tiada pembelaan dikemukakan oleh defendan dalam tindakan ini."

Menerusi JID itu, Mohd Na’im meminta Lokman membayar pampasan berjumlah RM30 juta iaitu RM10 juta sebagai ganti rugi teladan, RM10 juta ganti rugi teruk dan RM10 juta ganti rugi punitif.

Plaintif juga turut menuntut ganti rugi am yang tidak ditentukan seperti yang ditentukan oleh mahkamah, serta faedah tahunan 5 peratus ke atas keputusan yang diberikan oleh mahkamah, untuk dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, dan kos guaman.

Pada 17 Januari, Mohd Naim Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap Lokman, atas kapasiti peribadi.

Dia mendakwa defendan telah memfitnahnya melalui kenyataan menerus dua siaran langsung di laman Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari.

Mohd Na’im mendakwa Lokman turut memuat naik siaran langsung itu di laman YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan, selain memuat naik tiga catatan berunsur fitnah di Facebook pada 11 Jan dan 13 Jan.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membayangkan dia sebagai seorang tidak bermoral, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat, dan mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

Mohd Naim mendakwa siaran langsung dan siaran lain telah disebarkan kepada pihak ketiga, kerana laman Facebook dan YouTube Lokman boleh dilihat dan diulas oleh orang ramai.

Plaintif berhujah bahawa laporan polis telah dibuat pada 12 Disember tahun lalu untuk menafikan tuntutan 'Datin' terhadapnya, dan dia juga membuat laporan polis terhadap Lokman atas tindakannya itu.

Mohd Naim berkata surat tuntutan bertarikh 13 Januari dikeluarkan terhadap Lokman untuk menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah dan memadamkan siaran di Facebook, selain membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Plaintif mendakwa setakat hari ini, defendan tidak mengendahkan laporan polis dan tindakan undang-undang.

Menerusi saman fitnah utama, Mohd Naim memohon injunksi supaya Lokman memadamkan video dan kiriman itu, serta menghalang defendan daripada menerbitkan semula, selain permohonan maaf dimuat naik di media sosial.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am untuk dinilai oleh mahkamah, selain daripada ganti rugi teladan, teruk dan punitif berjumlah RM10 juta setiap satu, dengan faedah lima peratus setahun dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, serta relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Dilaporkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 20 Januari, membenarkan permohonan Mohd Na’im untuk injunksi sementara bagi Lokman untuk menurunkan posting yang didakwa berunsur fitnah. Defendan telah mematuhi perintah injunksi sementara.

Mahkamah juga menetapkan 22 Mac untuk mendengar permohonan Lokman bagi mengenepikan injunksi sementara sementara menunggu penyelesaian saman utama.