Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Azam Baki, apa makna integriti?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya telah mengatakan yang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, telah menjadi musuh terburuknya sendiri dengan percaya bahawa “sekarang, orang telah menyedari yang tuduhan terhadapnya tidak berasas” dan kononnya dia menjadi mangsa kempen.

Bagaimana Azam hendak terus memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM apabila dia tidak betul-betul memahami makna integriti yang menghalangnya daripada menjadi contoh terbaik integriti, ketelusan, dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam?

Dalih-dalihnya mengenai “sepina” dan “jemputan” - untuk menunjukkan keengganan hadir di hadapan jawatankuasa pilihan khas parlimen - yang sepatutnya boleh menjadi ruang membersihkan nama telah disangkal oleh ahli parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Khoo menegaskan bahawa Azam pernah hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Oktober 2020 dengan hanya jemputan.

Azam boleh membantu meminimumkan kerosakan terhadap integritinya dengan mengisytiharkan sedia hadir di hadapan jawatankuasa pilihan parlimen. 

Dia perlu membersihkan nama daripada dakwaan konflik kepentingan yang timbul sejak tiga bulan lepas.

Azam tidak boleh terus percaya dengan kesimpulan kononnya setakat ini, orang ramai menyedari tuduhan terhadapnya tidak berasas", seperti yang dikatakan dalam surat terbuka kepadanya oleh wartawan veteran R Nadeswaran.

Rakyat Malaysia mahu SPRM melakukan kerja yang lebih baik dalam memerangi rasuah.

Mereka mahu Malaysia menjadi antara 30 negara teratas di dunia yang paling bebas rasuah, sebagaimana objektif Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh perdana menteri kelima, Abdullah Badawi.

Pelan itu bertujuan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) daripada tempat ke-37 pada tahun 2003 kepada sekurang-kurangnya kedudukan ke-30 pada tahun 2008.

Begitu juga dengan skor 5.2 Malaysia pada tahun 2003. Ia hendak ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 6.5 pada tahun 2008.

Tetapi dalam TI CPI 2021, Malaysia jatuh ke kedudukan ke-62 dengan hanya 48 markah!

Seperti mana Azam tidak memahami makna integriti, beliau juga kelihatan tidak memahami kedudukan buruk negara dalam TI CPI 2021. 

Seperti yang dikatakan Nadeswarn: 

"Diharapkan apabila anda hadir di hadapan panel PSC, anda akan mendedahkan semua maklumat dan menyampaikannya dengan baik supaya PSC dapat menyiasat sepenuhnya isu yang disebabkan oleh anda sendiri.”

Bolehkah Azam membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan sebelum parlimen bersidang semula pada 28 Februari 2022?

Jika tidak, rakyat Malaysia perlu berdepan dengan persoalan: Bagaimana Azam boleh terus memegang jawatan sebagai ketua Pesuruhjaya SPRM sedangkan beliau tidak memahami erti integriti?


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.