Surat terbuka Dr Mahathir kepada pengundi Johor
SURAT l Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam sejahtera.
Besarlah harapan saya sekalian dalam keadaan baik dan sihat serta mendapat kerahmatan sentiasa.
Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk berkongsi beberapa pandangan berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Undi saudara dan saudari akan menentu parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri Johor dan adalah amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air.
Saya sedar wujud di kalangan saudara dan saudari perasaan bahawa PRN Johor tidak akan memberi kesan apa-apa tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri.
Di sini ingin saya memberi pandangan bahawa kesan PRN Johor ini kepada pilihan raya umum amat besar dan tidak boleh diambil ringan.
PRN telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat dari Umno. Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum pilihan raya umum ke-15.
Perancangan mereka ialah apabila menang di pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes-kes salahguna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.
Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor. Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat.
Saudara dan saudari,
Rakyat Johor telah menolak calon-calon Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-14 pada tahun 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahankannya.
Kali ini mereka masih mempertahankan kleptokrat. Kerana itu, parti saya Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat dan kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.
Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka.
Saya akan menulis lagi kepada saudara dan saudari, Insya-Allah.
Semoga saudara dan saudari akan terus mendapat keberkatan.
Sekian. Terima kasih.
DR MAHATHIR MOHAMAD adalah pengerusi Pejuang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai