Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M: PRN Johor untuk perkukuh 'kluster mahkamah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mengulangi amaran bekas anak didiknya Muhyiddin Yassin bahawa pilihan raya negeri (PRN) Johor bertujuan untuk mengukuhkan lagi "kluster mahkamah" dalam Umno.

Ini selepas Naib Presiden Umno Khaled Nordin dilihat menjauhkan kumpulan berkenaan - yang mendapat julukan sedemikian kerana mempunyai kes rasuah di mahkamah - daripada Umno Johor.

Dalam surat terbuka kepada pengundi Johor hari ini, Mahathir berkata 'kluster mahkamah' itu akan diperkukuhkan walaupun tidak bertanding.

"Ada pengundi yang berkata bahawa kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding di dalam PRN Johor.

"Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan BN akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat," katanya.

Dr Mahathir juga mengulangi pandangan Muhyiddin dan pengkritik lain bahawa 'kluster mahkamah' itu menyasarkan untuk menggunakan Johor sebagai landasan untuk pilihan raya umum (PRU) mengejut.


Baca berkaitan: Surat terbuka Dr Mahathir kepada pengundi Johor


Antara pemimpin yang dikaitkan dengan 'kluster mahkamah' ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak.

Muhyiddin pada Jumaat lalu mengkritik kumpulan itu.

Sebagai tindak balas, Khaled berkata tiada seorang pun daripada mereka yang disebut sebagai "kluster mahkamah" bertanding di Johor.

Naib presiden Umno itu juga berkata Muhyiddin dan Bersatu hanya boleh bercakap mengenai 'kluster mahkamah' kerana mereka tidak boleh membuat sebarang tawaran dasar untuk PRN Johor akan datang

Mahathir dalam suratnya hari ini, berkata Umno dihukum pada 2018 kerana enggan bertindak terhadap Najib, dan sebaliknya mempertahankannya.

"Kali ini, mereka (Umno) mash lagi mempertahan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Pejuan menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

"Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka,” katanya.

Pejuang bertanding sebagai kuasa keempat dalam PRN Johor dan merancang untuk meletakkan calon di 42 kerusi.

Pesaing mereka BN, Perikatan Nasional yang diterajui Bersatu, dan Pakatan Harapan yang bekerjasama dengan Muda.