Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah kekal denda RM50,000 kepada Petronas Carigali

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkmah Rayuan hari ini mengekalkan denda RM50,000 yang dikenakan terhadap Petronas Carigali Sdn Bhd kerana gagal mengadakan sistem kerja selamat yang menyebabkan kematian seorang pekerja lapan tahun lalu di Kemaman, Terengganu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Petronas Carigali selepas membuat keputusan tiada kesilapan yang boleh dirayu dilakukan oleh Mahkamah Tinggi dalam mendapati perayu bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP).

"Mengikut Seksyen 15 (1) AKKP 1994, adalah menjadi tugas perayu (Petronas Carigali) untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Perayu gagal memastikan kontraktor patuh kepada Penyataan Kaedah Kerja dan gagal melakukan Analisis Bahaya Pekerjaan.

"Oleh sebab itu, rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya.

Mahkamah Rayuan juga menetapkan RM50,000 sebagai kos kepada penghakiman.

Dua lagi hakim yang bersidang adalah Datuk Che Mohd Ruzima dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 28 Disember 2017, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap Petronas Carigali selepas didapati bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan syarikat terbabit membayar kos RM5,000 kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 November 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Mengikut pertuduhan, Petronas Carigali sebagai majikan, didakwa gagal memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja bagi pekerjanya, Md Noor Yusof dengan gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja 'remove and install grating' di platform, sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Md Noor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RSD Valve Manifold Platform, Petronas Carigali Onshore Gas Terminal, Kemaman di Terengganu pada jam 3.20 petang, 13 Mac 2014 dan dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron selaku responden, manakala Petronas Carigali diwakili peguam K Ragunath.

- Bernama