Muda: Jangan putus asa, menyerah kalah pada pemimpin korup
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa pengundi di Johor yang tinggal di Singapura untuk turun membuang undi mereka, walaupun kecewa dengan suasana politik Malaysia mutakhir ini.
Dalam satu surat terbuka, pengasas bersama Muda Lim Wei Jiet berkata dia tahu ramai orang Johor di Singapura yang tertanya-tanya apa perlunya mereka mengundi pada PRN nanti, selepas melihat mandat yang diberikan pada PRU lalu dikhianati oleh sesetengah wakil rakyat yang mereka undi.
“Benar, saya mengerti apa yang dirasai.
“Tapi saya juga mengerti yang inilah yang dimahukan ahli politik korup dan tidak bermoral di belakang Langkah Sheraton. Jangan salah sangka: matlamat mereka pada masa itu bukan hanya untuk merampas Putrajaya. Matlamat mereka adalah untuk hancurkan semangat rakyat - untuk membuatkan saya, anda dan kita semua hilang kepercayaan kepada sistem.
“Untuk tidak peduli untuk mengundi. Agar mereka tidak dipertanggungjawabkan. Untuk biarkan mereka kekal berkuasa agar mereka boleh menjarah dan menyalah guna kuasa yang tidak dipantau.
“Jadi, sementara kita boleh kekal kecewa, kita tidak boleh menyerah kalah kepada pihak yang korup. Kita tidak boleh putus harapan yang perubahan boleh dicapai,” katanya.
Lim merujuk kepada rampasan kuasa politik pada 2020 yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton, yang menyebabkan kerajaan PH yang menang pada PRU 2018 hilang kuasa.
Ia turut disusuli kejatuhan pentadbiran PH di beberapa negeri.
Jika Umno menang, akan ada lagi PRN
Menurut Lim, undi dalam PRN Johor adalah penting kerana ia bukan saja untuk menentukan pentadbiran negeri, tetapi jika kesan di negeri lain dan negara secara keseluruhannya.
Dia mendakwa jika Umno menang di Johor, PRN akan turut dicetuskan di negeri lain bagi mewujudkan momentum ke arah pembubaran Parlimen dan PRU15.
“Hasilnya mungkin menyebabkan dakwaan rasuah terhadap individu berprofil tinggi digugurkan.
“Jika ada negeri yang dapat menghalang Umno, ia ialah Johor. Johor yang saya sentiasa kenali sebagai sederhana, progresif, berpandangan jauh dan meraikan perbezaan antara kaum.
“Maka, undi anda sangat bermakna. Jika semua daripada kira-kira 200,000 orang Johor di Singapura mengundi, ia akan beri kesan besar di banyak kerusi,” katanya lagi.
PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai hari penamaan calon dan 12 Mac untuk hari mengundi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai