Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan sah bertanding di Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Warisan memutuskan untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata jumlah kerusi yang ingin ditandingi parti itu belum dimuktamadkan.

“Ia (jumlah kerusi DUN) akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Warisan Johor di sebuah restoran, di Johor Bahru malam tadi.

Ditanya sama ada parti berpangkalan di Sabah itu akan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain di Johor, Ahli Parlimen Semporna itu berkata fokusnya ketika ini ialah untuk parti itu mendekati rakyat.

“Namun, perkara ini (solo atau kerjasama dengan parti lain) akan dilihat mengikut keadaan… ingin kita dampingi ialah mereka yang menentukan siapa yang memerintah bukan saja Johor, bahkan Malaysia,” katanya.

Mengulas khabar angin berhubung bekas Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang menyertai Warisan, Mohd Shafie berkata buat masa ini, Mazlan hanya meluahkan keinginan untuk membantu Warisan.

Januari lepas, Mazlan yang juga bekas Adun Puteri Wangsa mengumumkan keluar dari Bersatu, namun tidak menyertai mana-mana parti ketika itu serta menyatakan sokongannya kepada BN.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan bekas Adun Suhaimi Salleh, sebagai Ketua Koordinator Warisan Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

- Bernama