Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga Pekan Awah rayu selesaikan krisis air lebih 20 tahun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penduduk dan peniaga di pusat perniagaan Pekan Awah, Maran, Pahang, merayu kerajaan negeri dan Persekutuan mencari jalan penyelesaian segera masalah bekalan air dihadapi mereka sejak lebih 20 tahun lalu.

Mereka mendakwa, sejak kawasan perniagaan itu dibuka kira-kira 30 tahun lalu, mereka berdepan masalah gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan hingga menyukarkan urusan harian mereka.

Kawasan yang terletak di tepi laluan utama menghala susur keluar ke Plaza Tol Chenor dan menghubungkan pekan itu dengan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) merupakan kedudukan yang strategik justeru sepatutnya memberi kelebihan kepada peniaga memperoleh pendapatan lebih baik.

Mereka juga mendakwa terpaksa membayar bil bulanan sebanyak RM20 walaupun bekalan air ada atau tidak di kawasan berkenaan.

Azmil Zakuan Ishak.

Seorang peniaga, Azmil Zakuan Ishak, 38 tahun ketika ditemui di premis diusahakannya sejak tahun 2006 mendakwa, mereka terpaksa menadah air dari rumah untuk dibawa ke kedai bagi memastikan urusan harian tidak terganggu.

“Kalau tidak bawa air sendiri, susah kami. Jadi dengan air itulah kami gunakan untuk membasuh tangan, ambil air sembahyang dan urusan lain.

“Benda (masalah) ini sudah berlanjutan sejak puluhan tahun, jadi semestinya pihak berwajib memikirkan penyelesaian, kalau bukan sekarang, nak tunggu bila lagi.

“Sepatutnya, kawasan ini jadi tumpuan, boleh jadi tempat persinggahan pelancong atau pengguna jalan raya sebelum mereka masuk atau bila keluar LPT, tapi bagaimana nak maju kalau kemudahan asas, air ini kemudahan asas, tapi tidak ada air.

“Walaupun (bekalan) air ada atau tidak, RM20 sebulan tetap kena bayar, apa guna bayar RM20 kalau bekalan macam ini, macam satu penganiayaan kepada kami yang berniaga di sini,” katanya.

Zakaria Talib dan isteri, Norihan Ismail.

Bagi pasangan warga emas orang kurang upaya (OKU), Zakaria Talib, 72, dan isterinya, Norihan Ismail, 68, sangat berharap luahan mereka menggunakan saluran media mendapat perhatian pihak berkenaan.

Norihan berkata, sejak dia dan suaminya berpindah ke kawasan itu dan mengusahakan kedai membaiki barangan elektrik pada bulan Sept 1994 dan sehingga hari ini, masalah bekalan air tidak pernah selesai.

“Air paip dia macam itulah, kadang ada kadang tak ada... kadang lori tangki air, masa itu JBA (Jabatan Bekalan Air) Pahang hantar lori air ke sini, kadang-kadang tak tahu nak cakaplah.

“Bila kami telefon pejabat (JBA), mereka senyap, masa itu (JBA) tak layanlah, tak cakap pun apa punca bekalan air di sini bermasalah.

“Sekarang adalah tangki air diletakkan di sini, tapi saya tak larat nak punggah air, dengan faktor umur, memang tak daya, jadi tolonglah selesaikan sebab dah lama sangat masalah ini,” katanya.

Siti Huzaimah Md Omar

Seorang pengusaha kedai makan, Siti Huzaimah Md Omar, 47 tahun pula berkata, penduduk dan peniaga di kawasan itu sudah penat membuat aduan kepada pihak berkaitan dan tidak ada tindakan susulan diambil.

"Macam kedai makan saya ini, sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dah bermasalah, sekejap boleh buka, sekejap tak boleh, sudahlah dengan masalah air lagi, lama kelamaan kita jadi jemu.

“Saya dah berniaga lebih 10 tahun, sepanjang tempoh 10 tahun, itulah dia masalahnya, sama saja, bekalan air. Bila kami minta tangki, memang mereka bagi tapi masalahnya benda itu (tangki) jauh, takkan kita nak angkut, tak berdaya juga,” katanya.

Mohamad Uwais Mohd Adzmi

Seorang lagi peniaga, Mohamad Uwais Mohd Adzmi, 41, merayu supaya tindakan susulan boleh dilakukan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kalau (permohonan) kami ini menyusahkan, kami minta maaflah, tapi kami ini manusia, memang perlukan air untuk urusan harian. Lagipun, kawasan ini ramai orang berusia, ada OKU, menetap berkeluarga di sini.

“Sebelum ini ada ramai yang datang, Span ada datang, Paip ada datang, dia (Span) kata nak selesai sebelum bulan puasa tahun lepas, tapi takde selesai juga,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Paip, Mohd Hanif Mohamed Nor melalui satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang berusaha mengatasi masalah dihadapi peniaga dan penduduk di kawasan Pekan Awah dan sekitarnya.

"Bagi langkah (penyelesaian) jangka pendek, Paip daerah Maran sudah menghantar lori tangki dan menempatkan tangki statik di kawasan berkenaan. Selain itu, kita juga menghantar bekalan air bersih secara berjadual untuk kegunaan peniaga dan penduduk di situ.

"Kita juga mempunyai perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah itu berkenaan dan Paip sudah kenal pasti lokasi sesuai untuk membina rumah pam berhampiran tapak tangki air dalam kawasan Risda Kampung Awah dan apabila ia (rumah pam) siap, rumah pam ini akan mengepam air ke tangki perkhidmatan Kampung Awah dan masalah (gangguan bekalan air) akan selesai," katanya.