Skip to main
Logo Malaysiakini

SC akan jelaskan isu Azam Baki kepada PSSC esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dijadual bertemu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi (PSSC) esok bagi menjelaskan penemuan mereka mengenai Azam Baki yang terpalit dengan skandal pemilikan saham baru-baru ini.

Menurut timbalan pengerusi jawatankuasa itu, Wong Chen, PSSC akan bertemu dengan badan kawal selia pasaran saham itu pada 9 pagi esok.

"Ya, mesyuarat itu jadi. Ia telah dijadualkan pada 9 pagi Khamis," kata ahli parlimen Subang itu kepada Malaysiakini malam tadi.

Menurut Wong, tarikh pertemuan itu disahkan pada Isnin dan bakal berlangsung di Ibu Pejabat SC di Kuala Lumpur.

Pada 21 Jan, Malaysiakini melaporkan jawatankuasa itu bercadang untuk memanggil SC bagi mendapatkan penjelasan mereka mengenai pemilikan saham Azam,

Pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu mendapat perhatian ramai ekoran pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada ketika itu.

Pegangan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu dalam Gets Global turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016 dengan nilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Azam Baki

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Kata Wong jemputan telah dihantar kepada semua sembilan ahli PSSC termasuk pengerusinya, Hasan Arifin, yang juga pemimpin Umno dan ahli parlimen Rompin.

Wong mengesahkan dia dan Hasan akan menghadiri sesi itu.

Ada kawalan akaun sendiri

Ahli jawatankuasa lain ialah Idris Jusoh (Umno-Besut), Redzuan Yusof (Bersatu-Alor Gajah), Robert Lawson Chuat (GPS-Betong), Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus), Ong Kian Ming (DAP-Bangi) , Teresa Kok (DAP-Seputeh) dan Khalid Samad (Amanah-Shah Alam).

Apabila ditanya mengenai rancangan PSSC seterusnya, Wong berkata mereka akan melihat maklum balas daripada SC terlebih dahulu dan kenyataan akan dikeluarkan selepas mesyuarat itu selesai.

Pemilikan saham oleh Azam pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia setaraf dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan jika ia menjadi isu konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi ia dibeli oleh adiknya, Nasir, yang menggunakan nama pegawai SPRM itu.

Ia kemudian mendorong SC untuk menyiasat kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan Azam.

Pada 18 Jan, SC mengumumkan siasatan mereka tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Bagaimanapun, susulan kritikan pelbagai pihak, SC menjelaskan pihaknya mendapati Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun jual beli sahamnya dan tiada bukti menunjukkan berlakunya jual beli secara proksi.

[Baca berita asal]