Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan pilih bekas Adun Umno ketuai parti di Johor

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, semalam mengesahkan bekas pemimpin Umno, Suhaimi Salleh, akan mengetuai parti itu di Johor, sekali gus membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya di Semenanjung Malaysia.

Walaupun Mohd Shafie mengesahkan Warisan akan bertanding, dia belum mendedahkan kerusi yang disasarkan parti itu.

Pun begitu, untuk nota Suhaimi merupakan bekas Adun Kukup antara 2008 hingga 2013.

Beberapa sumber dalaman Warisan memberi bayangan yang mereka hanya akan meletakkan calon di beberapa kerusi sebagai langkah permulaan bagi melihat penerimaan awam kepada parti berkenaan.

Pada masa sama Mohd Shafie mengakui wujud kebimbangan yang penyertaan Warisan hanya akan memecahkan lagi undi pembangkang. Pun begitu bekas naib presiden Umno itu menegaskan, dalam keadaan Warisan tiada pun, pembangkang utama - Pakatan Harapan (PH) - memang gagal mendapat sokongan yang banyak.

"Apabila kita tidak bertanding di Melaka dan Sarawak, PKR masih kalah, DAP pula kehilangan kerusi," katanya.

Justeru, kata Mohd Shafie, kehadiran Warisan adalah untuk memberikan pilihan kepada rakyat Johor.

Serah borang sertai Warisan

Pengumuman itu dibuat di depan kira-kira 1,000 tetamu yang menyertai majlis makan malam di Taman Sutera, Johor Bahru malam tadi.

Antara pemimpin politik yang dijemput untuk menghadiri pada majlis itu ialah Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dilihat tidak hadir.

Bekas Adun Teratai di Selangor, Bryan Lai, yang meninggalkan DAP pada tahun lalu ekoran terpalit kontroversi berkaitan rumah tangganya, serta bekas naib ketua Wanita Gerakan Johor, Wong Siew Poh hadir. Tidak ketinggalan bekas anggota Jawatankuasa Pusat MIC, S Sunther.

Bekas Adun Kukup, Suhaimi Salleh

Pada sidang media selepas makan malam itu, Mohd Shafie berkata, Warisan sedang berunding dengan Muda. Namun dia tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Kata Mohd Shafie, dia ada bercakap dengan Syed Saddiq namun ahli parlimen Muar dan bekas menteri belia dan sukan itu belum membuat sebarang keputusan.

Mohd Shafie juga mengakui dia sedang berunding dengan Mazlan dan bekas exco Johor itu didakwa sudah menyatakan kesediaannya membantu Warisan.

Bagaimanapun untuk rekod, sebelum ini Mazlan sudah menyatakan sokongannya kepada Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad.

Pada majlis itu juta beberapa anggota Bersatu dari 11 cawangan di Sekijang menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Warisan.

[Baca berita penuh]