Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Jangan kacau orang yang mahu vaksinkan anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi amaran agar tiada pihak yang mengganggu golongan ibu bapa yang mahu memberikan vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka.

Katanya, liputan dan pendaftaran program imunisasi Covid-19 Kebangsaan kanak-kanak (PICKids) semakin meningkat.

"Liputan dan pendaftaran #PICKids semakin meningkat. Alhamdulillah ibu bapa mahu memberi perlindungan kepada anak.

"Walaupun ada yang sebar fitnah anak saya dicucuk angin, semakin ramai ibu bapa yakin dengan vaksin.

“Jangan kacau orang lain yang nak vaksinkan anak mereka," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau turut memuat naik graf perbandingan pendaftaran vaksin bagi kanak-kanak mengikut peratusan negeri.

Secara keseluruhan seramai 892,974 orang sudah mendaftar dengan jumlah tertinggi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 52 peratus, manakala pendaftaran tercorot direkodkan di negeri Kelantan dengan hanya tujuh peratus yang berbuat demikian setakat ini.