Hadi terima kunjungan duta kerajaan lama Afghanistan
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang hari ini menerima kunjungan duta kerajaan lama Afghanistan - yang digulingkan Taliban tahun lalu - Dr Moheb Rahman Spingar.
"Kunjungan hormat tersebut berkisar hasil dari susulan lawatan kerja YB Tan Sri (Hadi) ke Qatar bagi membincangkan peranan yang perlu diambil oleh Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutamanya dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan.
"Usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara diteruskan dengan bantuan kemanusiaan dengan kerjasama pelbagai pihak," kata kenyataan ringkas anggota parlimen Marang di Facebook.
Presiden PAS turut memuat naik gambar kunjungan di pejabatnya di Putrajaya.
Moheb tahun lalu, ketika menjawab soalan media Malaysia, mendakwa statusnya sebagai duta kekal walaupun ada perubahan rejim di Afghanistan.
Bagaimanapun memetik The Times, Arab News semalam melaporkan kedudukan diplomat negara itu masih tidak jelas memandangkan aset-aset Afghanistan di seluruh dunia dibekukan susulan kudeta Taliban.
Sebelum ini Moheb dilaporkan warga Afghanistan di Malaysia bimbang untuk kembali pulang ke negara asal mereka susulan perubahan kerajaan yang diambil alih Taliban pada Ogos tahun lalu.
Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah pada September lepas dilaporkan berkata, Putrajaya membuat keputusan untuk tidak menghantar pulang duta Afghanistan itu buat masa itu.
Jumpa wakil Taliban di Qatar
Sebelum ini Hadi dilaporkan mengadakan pertemuan dengan wakil pimpinan Taliban dalam lawatan kerjanya di Qatar, baru-baru ini.
Pertemuan itu menimbulkan kontroversi selepas pengkritik tampil mempersoalkan pertemuan itu sebagai mengiktiraf Taliban dan mendahului kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun pegawai Hadi menegaskan pertemuan tersebut merupakan satu dialog yang disusun oleh Kementerian Luar Negeri (Mofa) atas permintaan pejabat duta khas dan bukan bermaksud “pengiktirafan”.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai