Ibu tunggal tuntut majlis agama buktikan dia izin anak peluk Islam
Majlis agama Islam di Perak, Kedah dan Pulau Pinang digesa membuktikan bahawa ibu tunggal, Loh Siew Hong memberi keizinan agar agama tiga anaknya ditukar kepada Islam.
Dalam surat tuntutan terhadap pendaftar mualaf ketiga-tiga majlis tersebut, dinyatakan bahawa jika kanak-kanak tersebut didaftarkan di mana-mana tiga negeri itu, pendaftar yang terlibat diberi tempoh tujuh hari untuk:
Mengemukakan dokumen yang menunjukkan Loh setuju untuk mendaftarkan anak-anaknya sebagai Islam, atau
Mengemukakan pengesahan secara bertulis yang penukaran agama mereka kepada Islam telah dibatalkan dan nama mereka dikeluarkan daripada daftar mualaf.
Jika gagal berbuat demikian, semakan kehakiman akan difailkan tanpa sebarang notis lanjut.
Notis tuntutan itu memetik duluan dalam kes M Indira Gandhi - di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan keizinan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum sijil memeluk agama Islam dapat dikeluarkan untuk anak mereka.
Buat masa ini, Loh masih tidak dapat bersama tiga anaknya walaupun akhirnya berjaya mengesan mereka, setelah dilarikan bekas suaminya dan ditukar agama kepada Islam tiga tahun lalu.
Tiga anaknya - kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun - bertemu sekejap dengan ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis dua hari lalu.
Namun mereka kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Loh dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019, dan tidak lama kemudian wanita itu terasing dengan anak-anak.
Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.
Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.
Terdahulu, Loh mendapat tahu yang Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin bertemu dengan anak-anaknya dan bertanya tentang bagaimana mereka menganut Islam.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Loh menyuarakan kesedihannya kerana Mohd Asri - yang tiada pertalian darah dengan tiga kanak-kanak itu - dapat bertemu mereka sedangkan dia sebagai ibu dihalang atas sebab mengekang penularan Covid-19.
“Mereka masih kanak-kanak. Jadi mana boleh anda tanya apakah agama mereka? Anda patut rujuk saya.
“Bagaimana mufti boleh jumpa mereka sedangkan saya tak boleh? Kejam sungguh,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Ia selepas Mohd Asri memuat naik video pertemuan tersebut di Instagram.
Dia antara lain bertanya jika mereka ingin kekal beragama Islam serta jika dipaksa untuk memeluk Islam.
Selepas menjawab mereka mahu kekal dengna agama Islam, Asri berkata dia akan cuba untuk memastikan perkara itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai