Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan: Istilah 'bendahara' lebih baik dari premier Sarawak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap penukaran gelaran ketua menteri Sarawak kepada ‘premier’, terdapat cadangan agar istilah ‘bendahara’ digunakan untuk menggantikannya.

Menurut Presiden Persatuan Genealogi Malaysia Megat Iskandar Megat Zaharuddin, cadangan itu dibuat berdasarkan elemen sejarah dan warisan bagi menggantikan istilah gelaran jawatan ‘ketua menteri’ dalam bahasa kebangsaan.

“Selaras dengan pengiktirafan Sarawak dan Sabah setaraf dengan semenanjung, bagi membezakan taraf ketua kerajaan Sarawak dengan ‘menteri besar’ mahu pun ‘ketua menteri’ dari negeri-negeri lain, saya mencadangkan penggunaan istilah gelaran bendahara bagi merujuk kepada jawatan ketua kerajaan Sarawak.

"Dari zaman dahulu, jawatan bendahara di gugusan kepulauan Melayu digunakan bagi merujuk kepada jawatan yang mirip kepada ketua kerajaan zaman moden.

“Penggunaan istilah lama ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada jawatan masa kini, tetapi memartabatkan warisan nenek moyang kita yang kian dilupakan oleh generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘ketua menteri’ kepada ‘premier’ telah diluluskan Dewan Undangan Negeri, dengan disokong oleh majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.