Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahli PSC gesa speaker keluarkan sepina terhadap Azam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang wakil rakyat pembangkang mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) parlimen supaya mengeluarkan semula surat kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam bentuk sepina untuk menghadiri sesi mesyuarat berhubung isu pemilikan saham.

Dalam surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata bahawa sepina itu penting supaya tidak tertimbulnya lagi sebarang keraguan teknikal atau perundangan.

“Azam Baki telah menyatakan dalam suatu wawancara media bahawa beliau enggan hadir ke mesyuarat JKPK kerana surat yang dikeluarkan kepada beliau hanyalah suatu jemputan dan bukannya sepina.

“Susulan daripada itu, saya telah memohon kepada JKPK supaya mengeluarkan semula surat kepada Azam Baki dalam bentuk sepina supaya tidak tertimbulnya lagi sebarang keraguan teknikal atau perundangan.

“Saya memohon penjelasan Yang di-Pertua sama ada semua surat yang dikeluarkan oleh JKPK sebelum ini adalah berkuasa sebagai suatu sepina.

“Jika tidak, semua surat yang dikeluarkan oleh JKPK pada masa akan datang seharusnya merangkumi perintah sepina supaya masalah ini tidak tertimbul semula,” kata Khoo dalam surat itu.

Azam sebelum ini dipanggil ke mesyuarat JKPK pada 19 Jan.

Tujuan sesi tersebut adalah supaya dia boleh memberi penjelasan mengenai dakwaan isu pemilikan saham.

Namun, pada 17 Jan JKPK dimaklumkan oleh Pengerusi JKPK, iaitu Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman bahawa Azam telah membantah untuk hadir ke mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Khoo juga meminta Speaker untuk memberi penjelasan sama ada Azam berhak membantah dan mengabaikan kuasa parlimen untuk memanggil hadir ke mesyuarat JKPK.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, kuasa memanggil JKPK adalah diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) dan Seksyen 16 & 17 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Alasan-alasan yang diberikan oleh ketua pesuruhjaya SPRM adalah pandangan peribadi beliau dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

“Sebaliknya, Peraturan Mesyuarat dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 ialah undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia,” katanya.