Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam siasat dakwaan polis pukul pekerja kilang warga Nepal

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berikrar akan meneliti dakwaan seorang pekerja asing dipukul polis.

Insiden itu didakwa  berlaku selepas dia membuat laporan, mendakwa bekas majikannya mencabuli hak-hak pekerja.

Suruhanjaya Suhakam Jerald Joseph berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan pekerja itu.

“Kami pandang serius perkara ini dan kami akan siasat.

"Sudah tentu kita perlu menemu bual Dhan Kumar Limbu melalui Zoom. 

“Kita akan teliti laporan polis itu dan apa yang berlaku," katanya selepas bertemu dengan Gabungan Reformasi Undang-undang Perburuhan (LLRC) di ibu pejabat Suhakam, Kuala Lumpur, hari ini.

Limbu ialah warga Nepal yang pernah bekerja di ATA Industrial (M) Sdn Bhd di Johor Bahru, anak syarikat ATA IMS Bhd.

ATA IMS menjadi berita hangat antarabangsa tahun lepas apabila pengeluar perkakas rumah dari United Kingdom - Dyson menamatkan kontraknya dengan syarikat itu susulan amalan buruh dan dakwaan pendedah maklumat.

Baru-baru ini, Limbu muncul dalam program televisyen UK Channel 4 News dan mendakwa dia dipukul berulang kali ketika disoal siasat di balai polis Larkin, Johor pada 2021.

Menurut Channel 4, Limbu dikenal pasti sebagai pemberi maklumat selepas akhbar UK Sunday Mirror mendakwa ATA IMS menyebabkan pekerja asing bekerja lebih masa sehingga 186 jam sebulan dan menempatkan mereka dalam keadaan yang tidak baik. 

Bagaimanapun selepas Reuters melaporkan dakwaan salah laku pihak polis lewat tahun lalu, ketua polis Johor ketika itu Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, mereka maklum perkara itu dan akan menyiasat laporan agensi berita antaabangsa itu.

ATA pada Mei lalu menafikan dakwaan buruh paksa di kilangnya.

[Baca laporan asal]