Skip to main
Logo Malaysiakini

MH370: Pihak berkuasa Australia semak data carian susulan petunjuk baru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa Australia sedang menyemak data daripada pencarian di dalam air untuk pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, selepas petunjuk baru muncul mengenai keberadaannya.

Bagaimanapun, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata ia tidak mengesyorkan pencarian baru pesawat itu pada masa ini. Sebarang keputusan sama ada carian lanjut akan dijalankan terpulang pada kerajaan Malaysia.

Kenyataan ATSB dibuat berikutan beberapa siri kertas tahun lepas oleh jurutera aeroangkasa Richard Godfrey, yang mendakwa telah membuat kesimpulan laluan penerbangan pesawat menuju ke lokasi di Lautan Hindi.

Kertas terbaru bertarikh 31 Dis 2021 meletakkan lokasi pesawat di bahagian utara dari lokasi usaha pencarian dalam air sebelum ini. Ia disimpulkan dengan menganalisis anomali dalam rangkaian radio amatur WSPRnet, menentukan yang mana mungkin disebabkan oleh gangguan daripada MH370, dan mengesahkannya dengan data lain.

Dalam kenyataan ATSB hari ini, ketua pesuruhjaya biro itu, Angus Mitchell berkata ATSB telah pun mencari "bahagian penting" zon carian yang disyorkan oleh Godfrey.

“Apabila ATSB dimaklumkan bahawa zon oleh Godfrey menggabungkan kawasan lautan yang ditinjau semasa pencarian yang diketuai ATSB, atas usaha wajar ATSB meminta Geosains Australia menyemak data yang dipegangnya daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada objek berkaitan yang dikesan di kawasan itu,” katanya.

Kajian semula itu dijangka akan dimuktamadkan dalam minggu-minggu akan datang dan penemuannya akan didedahkan kepada umum.

Mitchell menambah bahawa walaupun Godfrey adalah pakar yang boleh dipercayai mengenai MH370, ATSB tidak mempunyai kepakaran teknikal untuk menilai kertas kerjanya dan cara kerjanya mengenai kemungkinan laluan penerbangan MH370.

"Oleh itu ATSB tidak boleh menawarkan penilaian kesahihan kerja Godfrey menggunakan data WSPR," katanya.

MH370 berlepas dengan 239 orang di atas kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, tetapi secara misteri berpaling ke arah Lautan Hindi selepas peralatannya untuk memudahkan pengesanan melalui radar awam dilumpuhkan.

Ia diandaikan telah terhempas di suatu tempat beribu-ribu kilometer di barat Perth, di sepanjang petak lebar yang dikenali sebagai "Seventh Arc" berdasarkan metadata satelit.

Serpihan pesawat telah terdampar di pelbagai tempat, tetapi usaha mencari serpihan utama di dalam air selama tiga tahun tidak berhasil.

Dilaporkan bahawa pencarian itu menelan belanja sekitar A$200 juta (RM680 juta) yang kebanyakannya ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Siasatan menentukan bahawa kawalan pesawat mungkin sengaja dimanipulasi, tetapi tiada kesimpulan kukuh boleh dicapai melainkan serpihan ditemui.