Skip to main
Logo Malaysiakini

Jadual Shafie beri isyarat Warisan akan tanding di kerusi DAP, Bersatu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Jadual kunjungan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal ke Johor hari ini memberi gambaran mengenai kerusi mana yang akan ditandingi parti yang berpangkalan di Sabah itu pada pilihan raya negeri Johor.

Shafie dijangka memulakan harinya di Permas - kerusi yang disandang oleh Che Zakaria Mohd Salleh dari Bersatu - sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Jaya, yang mana penyandangnya ialah Liow Cai Tung dari DAP.

Pada sebelah malam, dia dijangka bergerak ke Bekok di sebelah utara Johor iaitu kerusi yang dimenangi S Ramakrishnan dari DAP pada pilihan raya umum 2018.

Dun Permas di bahagian selatan Johor merupakan kerusi di dalam kawasan parlimen Pasir Gudang, di mana terdapat sejumlah besar penduduk Malaysia Timur yang bekerja di pelabuhan Pasir Gudang.

BN mengekalkan kemenangan di Permas sehingga pilihan raya umum lalu apabila Bersatu merampas kerusi itu ketika masih menjadi komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Bersatu bagaimanapun telah keluar daripada gabungan itu. Amanah dijangka mewakili PH di kerusi berkenaan pada PRN Johor kali ini.

Permas merupakan kerusi majoriti Melayu tetapi mempunyai jumlah populasi bukan Melayu yang besar.

Shafie dijangka bersarapan di sana dan bertemu masyarakat tempatan Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Jaya pada sebelah petang di mana dia akan melawat tokong Cina dan beberapa perniagaan.

Johor Jaya adalah kerusi campuran dengan majoriti Cina.

Bilik gerakan di Bekok

Pada sebelah malam, dia dijangka melawat ke kawasan majoriti Cina di Bekok. Ia juga merupakan kerusi dengan penduduk India terbesar di negeri ini, iaitu sekitar 18 peratus.

Shafie dijangka bertemu masyarakat India dan Melayu tempatan di sana.

Tidak seperti Permas dan Johor Jaya yang terletak di pinggir bandar dan bandar, Bekok merupakan kerusi luar bandar.

Shafie juga dijadual melancarkan pusat operasi pilihan raya di sana, sekali gus memberi isyarat bahawa Warisan akan bertanding di kerusi itu.

Bagaimanapun, belum ada tanda-tanda Warisan akan membuka bilik gerakan di Permas atau Johor Jaya.

Warisan pada Selasa lalu mengesahkan parti itu akan membuat penampilan sulung PRN di Johor tetapi tidak mendedahkan kerusi mana yang akan ditandinginya.

Individu dalam parti itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk bertanding tidak lebih daripada tiga kerusi.