Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengundi pos Johor risau isu teknikal laman web SPR

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Isu teknikal di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengundi Johor apabila mereka tidak dapat mendaftar akaun untuk permohonan undi pos bagi pilihan raya negeri akan datang.

Berikutan permohonan undi pos Johor ditutup esok (18 Feb), para pengundi bimbang mereka mungkin terlepas tarikh akhir berikutan isu seperti ini.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong yang menerima aduan berhubung perkara itu di pusat khidmatnya menggesa SPR melanjutkan tarikh akhir permohonan undi pos selama seminggu hingga Jumaat depan (25 Feb).

“Hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri ialah pada 26 Feb dan SPR hanya boleh mencetak kertas undi selepas penamaan calon untuk menghantar undi kepada pengundi pos, jadi SPR tidak perlu tergesa-gesa untuk tarikh akhir permohonan undi pos seminggu sebelum 18 Feb,” kata Yeo dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, dia menerima aduan mengenai isu teknikal berkenaan daripada lebih 10 pengundi Johor yang bekerja di Singapura sejak dua hari lalu.

Proses untuk memohon pengundian secara pos dalam talian memerlukan seseorang itu mendaftar akaun di laman web SPR terlebih dahulu dan kemudian memohon untuk menjadi pengundi pos melalui akaun SPR tersebut.

Selepas membuat permohonan, e-mel akan dihantar kepada pemohon untuk mengaktifkan akaun mereka sebelum log masuk.

Seorang pengundi Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Giano berkata dia, isteri dan abangnya tidak dapat mengakses akibat berlaku kesilapan (error) ketika cuba mengaktifkan akaun mereka di laman web itu.

“Kami menghabiskan masa kira-kira seminggu hanya untuk mencipta akaun dan cuba log masuk ke laman web SPR, tapi asyik tak dapat.

“Kami buat akaun baru, tapi kami tidak boleh aktifkan walaupun dah terima e-mel pengesahan. Laman web itu terus menunjukkan mesej ‘error’ dan kami tidak boleh log masuk.

"Saya cuba untuk menukar kata laluan saya beberapa kali untuk log masuk tetapi masih gagal, sehingga membuatkan saya berasa tidak bersemangat,” kata lelaki berusia 35 tahun yang tinggal dan bekerja di Singapura bersama isteri dan abangnya.

Mereka kini berada di Johor berikutan sambutan Tahun Baru Cina dan akan kembali ke Singapura pada hujung bulan ini.

Walaupun Giano kemudiannya berjaya log masuk ke akaunnya dengan bantuan sukarelawan dalam talian, kaedah yang sama gagal apabila dia cuba mencipta akaun untuk isteri dan abangnya.

Sukarelawan yang menolongnya juga membantu mereka menghubungi SPR tetapi tidak berjaya.

Isu lain

Dia juga berkata ramai rakan-rakannya dari Johor yang tinggal di Singapura juga menghadapi masalah yang sama.

“Jika saya saja, saya mungkin anggap diri saya tidak bernasib baik. Tetapi ramai rakan saya yang bekerja di Singapura juga menghadapi isu yang sama. Kami tidak boleh mengesahkan dan mengaktifkan akaun kami langsung.

“Saya benar-benar mahu mengundi. Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi sebelum ini, tetapi kini seolah-olah SPR tidak mahu kami mengundi,” tambah Giano.

Yeo berkata terdapat isu teknikal lain membabitkan laman web itu apabila pengundi juga mengadu tidak dapat mengisi tarikh lahir mereka dalam borang pendaftaran akaun melalui iPhone.

Bagaimanapun, ia boleh diselesaikan dengan menukar kepada peranti jenis lain.

Dia juga mendakwa talian bebas SPR sering sibuk.

Yeo memberi amaran masalah sedemikian yang mengganggu proses pendaftaran pengundian akan menjejaskan kredibiliti SPR, kerana terdapat spekulasi di kalangan pengundi bahawa ia merupakan cubaan sengaja menghalang mereka daripada mengundi.

“Saya berharap SPR dapat membaiki laman web mereka secepat mungkin, dengan menambah jumlah talian bebas dan kakitangan perkhidmatan dan yang lebih penting, melanjutkan tarikh akhir pendaftaran undi pos demi menghormati hak mengundi rakyat Johor,” kata Yeo.

Malaysiakini telah menghubungi SPR untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara ini.

[Baca berita asal]