Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti mahu anak terpisah dibenar jumpa ibu bapa sekerap mungkin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor meminta supaya pihak berkuasa mencari jalan supaya anak-anak yang terpisah dengan ibu atau bapa mereka dibenarkan bertemu sekerap mungkin walaupun kedua-dua mereka menganut agama yang berbeza.

Mengulas mengenai isu ibu tunggal Loh Siew Hong yang sebelum ini dinafikan bertemu dengan anak-anaknya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Wan Salim berkata ikatan kasih sayang antara anggota keluarga perlu sentiasa dipupuk walaupun berbeza agama, terutamanya hubungan antara ibu dan anak.

“Saya menyeru pihak-pihak berkuasa carilah jalan supaya anak-anak boleh bertemu sekerap mungkin dengan ibu dan bapa mereka walaupun berbeza agama.

“Buktikanlah bahawa warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya ini adalah orang-orang yang sentiasa cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup sebagai sebuah keluarga Malaysia yang mesra dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Loh yang tidak dapat disatukan bersama tiga anaknya, selepas bekas suaminya Nagahswaran Muniandy berpisah menukar agama mereka secara sepihak tiga tahun lalu.

Tiga anaknya - kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun kini diletakkan di bawah jagaan JKM Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Wan Salim menjelaskan, Islam sendiri mengakui bahawa perbezaan agama merupakan satu fenomena semula jadi yang perlu diterima sebagai ketetapan dan kehendak pencipta manusia.

Namun, jelasnya perbezaan-perbezaan sedemikian tidak seharusnya menjadi faktor atau sebab untuk saling membenci dan bermusuhan antara sesama manusia, memandangkan Islam adalah agama yang menyeru ke arah perpaduan dan persahabatan walaupun berbeza agama, keturunan dan budaya.

“Ikatan kasih sayang antara anggota-anggota sebuah keluarga mesti sentiasa dipupuk dan disuburkan sekalipun mereka berbeza agama.

“Ini lebih-lebih lagilah antara ibu dan anak. Sekiranya berlaku perceraian antara ibu dan ayah, anak-anak tidak sewajarnya dijadikan mangsa sehingga dipaksa berpisah dengan salah seorang daripada ibu bapa mereka.

“Seboleh-bolehnya mereka diberi peluang untuk terus berhubungan dengan kedua-duanya supaya kasih sayang ibu dan ayah terus dinikmati oleh anak-anak sehingga ke usia dewasa,” katanya.

Loh dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019. Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Dia kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah. Loh kemudian berjaya bercerai dengan suaminya dan diberikan hak penjagaan penuh pada Mac 2021.

Semalam, Loh dapat bertemu dengan anak-anaknya walaupun dalam tempoh yang singkat.