Skip to main
Logo Malaysiakini

Suspek tetak mati ibu tiri direman 7 hari 

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suspek yang disyaki membunuh ibu tirinya dengan menetak bahagian leher hingga putus menggunakan parang dalam kejadian di Jerek, Gua Musang, semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui motif kejadian.

"Kita akan menjalankan siasatan terperinci daripada semua aspek untuk merungkaikan faktor kejadian itu.

"Setakat ini, hasil siasatan kita mendapati suspek di bawah pengaruh dadah dan sakit mental," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan leher terputus dipercayai ditetak anak tirinya dengan menggunakan parang.

Mangsa berusia 54 tahun ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang.

Suspek ditahan selepas menyerah diri di balai polis dan mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Choon Foo berkata, siasatan terhadap suspek berusia 39 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.