Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim gesa SPR panjangkan tempoh pendaftaran undi pos

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memanjangkan tempoh pendaftaran pengundian secara pos selepas tarikh 18 Feb yang merupakan hari terakhir bagi berbuat demikian.

"Saya telah meminta SPR untuk memanjangkan tempoh pendaftaran undian pos ini untuk seminggu lagi, daripada tarikh tutup pada 18 Februari kepada 25 Februari.

"Tetapi sama ada SPR akan bersetuju atau tidak, masih tidak diketahui lagi.

"Saya harap, akan ada berita baik daripada SPR hari ini atau esok mengenai pelanjutan tempoh pendaftaran pengundi pos ke hari Jumaat depan," katanya dalam surat terbuka kepada 200,000 pengundi Johor di Singapura.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata bahawa pengundi Johor yang berada di Singapura tidak boleh menunggu sehingga SPR membuat sebarang pengumuman.

"Untuk selamat, 200,000 pengundi Johor di Singapura perlu melawat laman SPR dan mendaftar untuk menjadi pengundi pos menjelang hari esok.

"Terutamanya, memandangkan negara kita sedang dilanda gelombang penularan Omikron, dengan kedua-dua Malaysia dan Singapura mencatatkan rekod baru kes harian semalam 27,831 kes di Malaysia dan 16,883 kes di Singapura," katanya.

Lim turut merayu 200,000 pengundi Johor di Singapura untuk menunaikan tanggungjawab memilih demi menyelamatkan Malaysia daripada "menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal."