Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramkarpal: Kerajaan seperti cuba lengah pelaksanaan RUU antilompat parti

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini berkata rang undang-undang untuk menghalang wakil rakyat lompat parti masih belum mencapai kata sepakat.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan kenyataan itu memberi gambaran kerajaan cuba melengahkan pelaksanaannya, yang merupakan salah satu janji yang perlu dipenuhi berdasarkan memorandum persefahaman Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan.

Ramkarpal mengakui kebimbangan Wan Junaidi terhadap pelbagai tafsiran tentang apa yang dimaksudkan dengan "lompat parti", tetapi menurutnya, terdapat persoalan asas tertentu yang boleh ditangani segera melalui rang undang-undang itu.

“Kejadian individu meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai parti lain yang berkuasa atau mereka yang menjadi wakil bebas tetapi mesra dengan parti yang berkuasa adalah contoh jelas individu meninggalkan satu parti ke parti lain atas motif tersembunyi mereka sendiri.

"Kejadian jelas lompat parti seperti itu boleh diharamkan sekarang dengan pengenalan undang-undang 'antilompat parti' dan pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Persekutuan," kata Ramkarpal.

Dua hari lalu, Wan Junaidi memberitahu Astro Awani bahawa masih tiada kata sepakat dalam kalangan ahli parlimen mengenai apa yang dikatakan "antilompat parti" selepas beberapa sesi perbincangan.

Wan Junaidi berkata masih terdapat kira-kira 20 soalan yang perlu diberi perhatian.

“Sebab itu kita mesti berbincang dengan semua pemimpin parti untuk menjelaskan istilah ini sebelum persidangan parlimen akan datang,” kata Wan Junaidi.

Bagaimanapun, masa tidak menyebelahi Wan Junaidi. Dewan Rakyat akan bersidang pada 28 Feb dengan Titah Diraja diikuti perbahasan usul terima kasih. Antara 21 Mac dan 24 Mac, kerajaan akan mempunyai empat hari untuk meluluskan rang undang-undang itu.

Ramkarpal, yang merupakan ahli jawatankuasa teknikal undang-undang PH, sendiri telah mengambil bahagian dalam sesi perbincangan yang dianjurkan oleh Wan Junaidi dan menegaskan bahawa dia tidak melihat sesiapa yang membantah cadangan definisi "lompat parti".

"Dakwaan menteri undang-undang bahawa terdapat kekurangan konsensus mengenai istilah 'antilompat parti' yang membayangkan bahawa mungkin sukar untuk memuktamadkan dan meluluskan cadangan undang-undang itu dalam masa terdekat adalah tidak berasas dan memberi gambaran bahawa kerajaan cuba melengahkan janjinya untuk melaksanakan undang-undang itu menurut memorandum persefahaman yang dimeterai dengan pembangkang tahun lalu.

“Persetujuan tersebut dimeterai atas persefahaman ketat bahawa pelbagai pembaharuan akan dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya berkaitan lompat parti yang menyebabkan kejatuhan dua kerajaan sejak PRU14,” kata Ramkarpal.

Mengulangi pendirian majlis presiden PH, Ramkarpal berkata kegagalan untuk membentangkan rang undang-undang semasa persidangan Dewan Rakyat akan datang akan menyebabkan pembangkang "memikirkan semula" penyertaan dalam perjanjian keyakinan-dan-pembekalan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beberapa minggu selepas dilantik sebagai perdana menteri, Ismail Sabri menandatangani perjanjian dengan PH dengan menjanjikan beberapa pembaharuan sebagai pertukaran sokongan daripada Ahli Parlimen PH sehingga Julai tahun ini.

Selain daripada undang-undang baru untuk menghalang wakil rakyat yang dipilih daripada berpaling tadah, perjanjian itu juga melibatkan penetapan had penggal untuk perdana menteri.