Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM perlu masa siasat isu perolehan kapal tempur pesisir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengakui menghadapi kekangan dalam siasatan ke atas dakwaan unsur rasuah dalam perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata pihaknya perlu mendapatkan dokumen berusia sedekad memandangkan kes LCS bermula antara 2009 dan 2011.

Selain itu, dia berkata SPRM perlu menjalankan siasatan melalui bantuan bersama dalam perkara jenayah untuk berurusan dengan syarikat dan entiti asing.

“Setakat ini, kami telah membuka tiga kertas siasatan dan siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.

"Tuan-tuan juga harus faham bahawa kekangan yang kita hadapi kerana usaha yang kita ambil untuk mendapatkan dokumen (lama) kerana kes itu bermula pada 2009, 2010 dan 2011."

"Dan, kes itu melibatkan beberapa syarikat asing dan entiti luar negara. Jadi kita perlu ambil masa. Kita perlu menjalani prosedur dan saluran perundangan yang digelar mutual legal assistance in criminal matter," katanya.

Tambahnya, SPRM perlu bekerjasama dengan pihak berkaitan di negara tersebut.

“Jadi, beri kami lebih masa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Pada 21 Nov tahun lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek membina enam LCS yang gagal dihantar seperti yang dijadualkan.

Projek itu, bernilai RM9.128 bilion, dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan, dengan RM6 bilion sudah dibayar.

Pada 24 Jan, SPRM menahan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) selepas menemui petunjuk baru dalam siasatannya berhubung perolehan enam kapal tempur pesisir oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Dilaporkan seorang broker telah ditahan tiga minggu lalu kerana didakwa menyerahkan dokumen palsu berkaitan perolehan LCS.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Khusairi berkata SPRM dijangka mendakwa individu yang terlibat dalam penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) di mahkamah Kuala Lumpur dan Ipoh esok.

"Kami telah menyelesaikan siasatan terhadap Mitra 1.0 membabitkan 10 syarikat dan kami telah merujuk perkara itu ke bahagian perundangan dan pendakwaan. Berkemungkinan kami akan membuat dua pertuduhan masing-masing di mahkamah Kuala Lumpur dan Ipoh esok," katanya.

Di bawah operasi Mitra 2.0 SPRM, Ahmad Khusairi berkata usaha membanteras rasuah itu akan memberi tumpuan kepada 17 syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menerima peruntukan antara RM1 juta dan RM9 juta.

"Kita telah membentuk satu pasukan petugas dengan (kerjasama) Kementerian Perpaduan Negara untuk kita meneliti selebihnya (syarikat, NGO dan individu). Ia kira-kira 310 individu dan syarikat," katanya.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan NGO dikenal pasti telah diluluskan peruntukan geran oleh Mitra dari 2019 hingga 2021, dengan peruntukan kira-kira RM203 juta, menurutnya.

Mitra menjadi tumpuan tahun lalu apabila ia didakwa terlibat dalam skandal penyelewengan dana.

Tahun lepas, SPRM menahan 17 pengarah syarikat yang mengendalikan geran Mitra.

Pada Oktober tahun lalu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago telah meminta Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique menjelaskan ke mana dana berjumlah RM9.1 juta daripada Mitra dibelanjakan.

Pada 9 Okt tahun lalu, Halimah dilaporkan berkata Kementerian Perpaduan Negara sedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM berhubung isu yang menjadi viral berkaitan pemberian kewangan Mitra.

Sementara itu, Ahmad Khusairi berkata SPRM hampir selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku dan isu integriti membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Siasatan sudah 99 peratus siap. Kemungkinan kita akan merujuknya kepada pengarah bahagian undang-undang dan pendakwaan untuk kajian lanjut," katanya.

Mengenai dakwaan penyalahgunaan kad kredit Mara, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita fokus pada terma rujukan dalam pengeluaran kad kredit itu, sama ada ia membenarkan penggunaan individu atau untuk tujuan rasmi...Kita perlu melihat banyak aspek – pentadbiran dan jenayah,” katanya.

Dia bagaimanapun berkata siasatan boleh dibuat tidak lama lagi.

Khamis lalu, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tertinggi Mara Corp.

Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Dua hari kemudian, SPRM menyerbu ibu pejabat Mara dan Mara Corp, serta sebuah syarikat setiausaha korporat, dan merampas dokumen yang terdiri daripada kertas cadangan dan minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji, serta dokumen berkaitan sumber manusia.