Loh dihalang lagi jumpa anak, diberitahu 'tunggu perintah'
Ibu tunggal Loh Siew Hong berkata dia sekali lagi tidak dibenarkan bertemu dengan tiga anaknya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis.
Dia sepatutnya bertemu dengan anak-anaknya di Perlis hari ini tetapi diberitahu oleh pegawai jabatan itu bahawa dia tidak dapat bertemu dengan mereka.
Ditemui di Butterworth hari ini, Loh berkata pegawai JKM memberitahunya dia memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa yang lebih atas sebelum dapat bertemu dengan tiga anaknya itu.
"Untuk jumpa anak sayapun saya kena tunggu perintah. Kenapa, tolonglah jangan buat saya macam gini," katanya.
Bagaimanapun, semalam dia dibenarkan meluangkan masa sejam bersama anaknya sepasang kembar berusia 14 tahun dan seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu.
Setelah pencarian sejak 2019, Loh dan tiga anaknya itu pertama kali disatukan semula dalam satu pertemuan singkat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis tiga hari lalu.
Mereka kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Loh pernah dihalang pegawai JKM untuk melawat anaknya, walaupun dia pada mulanya diberitahu dapat bertemu mereka selama sejam setiap hari, dengan syarat melakukan ujian Covid-19.
Loh dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019, dan tidak lama kemudian wanita itu terasing dengan anak-anak.
Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.
Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.
Selepas penceraian mereka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan mutlak kepada Loh pada Mac 2021, dan dia menghabiskan sembilan bulan mencari mereka sebelum meminta bantuan polis Bukit Aman.
Dia kemudian mendapati anak-anaknya bersama sebuah NGO mualaf. Seorang anggota NGO itu pada mulanya tidak membenarkan Loh bertemu mereka, tetapi wanita itu kemudian dilaporkan menghubungi Loh setelah dia membuat laporan polis.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai