Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Afghanistan: Adakah Taliban menepati janji?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Sejak mengambil alih Afghanistan, pihak berkuasa Taliban telah cuba memadamkan imej wanita yang dirampas hak mereka sejak pemerintahan pertamanya pada tahun 1996 hingga 2001, iaitu pada akhir abad ke-20.

Namun, realiti situasi itu mengesahkan ketiadaan perubahan besar dalam urusan pergerakan itu dengan wanita negara terutama berkaitan pekerjaan, pendidikan dan sukan.

Selepas merampas kuasa di Afghanistan, Taliban berjanji untuk menjadi lebih fleksibel dalam memberikan wanita lebih banyak hak berbanding semasa pemerintahan pertama mereka yang mana golongan itu dinafikan semua hak mereka.

Mengambil kira konteks masyarakat antarabangsa, kerajaan baru lebih berhati-hati untuk tidak mengeluarkan langkah ketat di seluruh negara.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan di pelbagai negeri mengambil tugas untuk menentukan peraturan yang harus dihormati oleh para wanita.

Mengubah kehidupan wanita secara radikal?

Walaupun Taliban mengatakan bahawa mereka membenarkan wanita bekerja, hakikatnya mereka dihalang daripada bekerja dalam pekerjaan rasmi kecuali dalam sektor khusus seperti kesihatan dan pendidikan.

Dalam sektor swasta pula, wanita mengadu tentang gangguan apabila mereka pergi bekerja. Perniagaan dan kedai dipantau dengan teliti kerana Taliban sering datang untuk memeriksa adakah pekerja diasingkan mengikut jantina.

Di beberapa kawasan, koperasi wanita sahaja dibenarkan untuk terus beroperasi, seperti kilang pemprosesan melati di Herat, barat Afghanistan yang dianggap sebagai antara yang paling terbuka di negara itu.

Tetapi berpuluh-puluh ribu wanita telah kehilangan pekerjaan sejak Taliban kembali berkuasa, menamatkan dua dekad kemajuan dan membolehkan mereka meneruskan pekerjaan baharu dalam sektor seperti polis dan badan kehakiman.

Pendidikan hak semua?

Taliban berkata mereka menganggap pendidikan sebagai hak untuk kanak-kanak perempuan juga, tetapi sebahagian besar sekolah rendah dan menengah telah menutup pintu mereka sejak Ogos lalu.

Pihak berkuasa kini mengesahkan bahawa sekolah itu akan dibuka kepada semua pada akhir Mac. Bagaimanapun, kekurangan guru wanita dan keputusan melarang lelaki mendidik anak perempuan akan menyukarkan usaha mencapai matlamat ini.

Kebanyakan universiti swasta telah dibuka semula beberapa daripadanya sejak September, tetapi mereka mengalami kekurangan pensyarah.

Namun, pengasingan mengikut jantina terus dikuatkuasakan.

Dua minggu lalu, universiti tempatan juga telah membuka pintu mereka di lapan negeri kepada mahasiswa, manakala yang lain akan menyusul pada 26 Februari akan datang. Akan tetapi, tetap berlakunya pengasingan antara pelajar wanita dengan lelaki.

Kebebasan individu

Dalam peraturan pertamanya yang dikuatkuasakan, Taliban mewajibkan wanita memakai burqa apabila keluar.

Kali ini, papan tanda digantung di kedai-kedai Kabul yang menyatakan bahawa wanita harus memakai tudung, tetapi turut disertai dengan gambar burqa, menunjukkan bahawa lebih baik memakainya.

Selain itu, mereka menyatakan bahawa wanita wajib ditemani oleh mahram apabila keluar dalam perjalanan jauh dari satu kota ke kota yang lain. Pemandu teksi juga diarahkan agar tidak membenarkan wanita tidak bertudung masuk ke dalam kereta mereka.

Salun kecantikan dan kedai pakaian terkenal sebelum kehadiran Taliban, tetapi kini sebahagian besarnya tidak terdapat lagi di jalanan.

Sukan juga disekat untuk wanita

Dalam pada itu, stesen televisyen dilarang menyiarkan filem yang memaparkan wanita, manakala wartawan wanita mestilah bertudung apabila muncul di skrin.

Seorang pegawai kanan Taliban berkata, sukan tidak perlu untuk wanita, tetapi pihak berkuasa negara itu tidak memutuskan kedudukan ini secara rasmi. Ini kerana dana yang datang daripada Persekutuan Sukan Antarabangsa, termasuk untuk kriket dan bola sepak, akan dibekukan jika wanita tidak dibenarkan bersukan.

Seperti kaum lelaki di negara itu, kebanyakan penyanyi, pemuzik, artis dan jurugambar terkemuka telah meninggalkan negara tersebut dalam beberapa minggu sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul.

Kembali ke situasi mundur

Terdahulu, Taliban telah membebaskan empat aktivis wanita Afghanistan yang menyertai protes antikeganasan pada Januari lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tetapi di sebalik peristiwa yang kelihatan menggembirakan ini, keadaan wanita menyaksikan kemunduran yang ketara di Afghanistan.

PBB di Afghanistan telah mengumumkan pembebasan empat aktivis wanita Afghanistan, Tamana Zaryabi Biryani, Parwana Ibrahim Khel, Zahra Mohammadi dan Mirsal Ayar, yang sebelum ini telah ditangkap oleh Taliban.

Aktivis tersebut telah hilang selepas menyertai demonstrasi di ibu negara Kabul bagi mempertahankan hak wanita untuk pendidikan dan pekerjaan, tetapi Taliban menafikan sebarang penglibatan dalam kehilangan mereka.

“Status wanita di Afghanistan tidak berubah, sama ada semasa pemerintahan pertama Taliban, yang berlanjutan hingga ke hari ini," kata Naib Presiden Universiti Amerika Afghan Victoria Fotan, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal akademik di Kabul.

Menurutnya, tanda-tanda keterbukaan yang ditunjukkan oleh Taliban sejak mereka kembali berkuasa adalah semata-mata memasarkan imej positif mereka di luar negara. Mereka mahu tampil dalam menghadapi kemodenan dan kemajuan, tetapi sebenarnya matlamat strategi ini adalah agar negara Barat mengiktiraf rejim mereka.

Semakin terjejas dan membimbangkan

Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, pergerakan Taliban berusaha untuk menampakkan imej positif dan terhormat mereka di peringkat antarabangsa, memandangkan bantuan kewangan yang disediakan oleh masyarakat antarabangsa adalah bersamaan 80 peratus daripada bajet negara.

Untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan ini, Taliban berjanji pada Khamis lalu di hadapan PBB untuk melindungi pekerja dalam organisasi bantuan yang beroperasi di negara itu dan menyokong pendidikan.

Sebagai sebahagian daripada strategi ini, dua wartawan yang disokong PBB dan rakan sekerja Afghanistan mereka turut dibebaskan pada Jumaat lalu, menurut UNHCR.

Tetapi bagi, bekas Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Scheherazade Akbar di Afghanistan dan kini tinggal dalam buangan di Turki, di sebalik niat baik ini ada sesuatu yang tersirat.

Enam bulan selepas Taliban berkuasa di Afghanistan, keadaan wanita terus terjejas dan sangat membimbangkan. Ini bertepatan dengan kemerosotan ekonomi yang banyak bergantung kepada bantuan asing.

Talam dua muka?

Walaupun Taliban mengumumkan bahawa mereka akan membenarkan kaum wanita menyambung pelajaran mereka, realitinya berbeza sama sekali daripada apa yang mereka katakan kerana sebenarnya wanita mengadu tentang kesukaran untuk memasuki universiti.

"Wanita tidak mempunyai hak untuk menduduki jawatan dalam sektor awam. Mengapa mereka mempunyai hak untuk pergi ke universiti?” menurut Victoria Fotan.

Lagi merumitkan proses pemecatan guru wanita Afghanistan, situasi pelajar wanita yang menghadapi kesukaran yang besar adalah melanjutkan pengajian di universiti. Selain itu, murid-murid tersebut tidak berhak meneruskan pelajaran sekiranya guru yang menyampaikan pelajaran ini adalah seorang lelaki.

Victoria Fotan menyifatkan langkah yang diambil oleh pergerakan Taliban sebagai munafik. Selain itu, beliau turut mengkritik keputusan pergerakan itu.

Rakyat bangkit menentang

Walaupun penindasan terus dikenakan ke atas wanita Afghanistan, penentangan awam tetap masih kuat.

"Penculikan pejuang wanita Afghanistan menyebarkan ketakutan dan keganasan dalam kalangan wanita dan memberi kesan negatif kepada mereka,” jelas Shahrazad Akbar.

Menurutnya, jumlah pembunuhan yang menyasarkan beberapa wanita telah meningkat, walaupun setiap ahli politik pembangkang yang muncul di laman media sosial ditindas. Taliban juga sedang memburu pengguna laman web tersebut.

"Taliban telah menjadi lebih ganas dan lebih menindas daripada masa lalu, dan menggunakan pelbagai teknik untuk menindas orang."

Hakikatnya, gerakan itu jauh daripada imej indah yang ingin pasarkan ke luar negara untuk mendapatkan bantuan kewangan. Keganasan Taliban tidak berubah, malah tetap semakin teruk.

Penangkapan baru-baru ini mendorong ramai wanita bersembunyi. Seperti seorang aktivis dan penyair Afghanistan yang enggan mendedahkan identitinya, beliau bimbang Taliban membunuhnya, menangkap ahli keluarga atau anak-anaknya kerana aktivitinya.

Keganasan terus berlaku

Selain keganasan luar, wanita Afghanistan menghadapi keganasan dalaman yang pahit.

“Mereka tahu bahawa jika mereka meninggalkan rumah kerana keganasan, mereka akan ditangkap di jalanan dan kemudian dihumban ke dalam penjara," kata seorang pejuang hak asasi manusia Afghanistan, Mahbouba Sirah.

Berikutan itu juga, PBB menyatakan bahawa 87 peratus wanita Afghanistan telah mengalami keganasan seksual, fizikal atau psikologi, manakala keadaan keselamatan mereka semakin merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Apa yang memburukkan keadaan adalah situasi kemanusiaan yang sukar di Afghanistan. Selain ketidakamanan makanan yang kronik, penggantungan bantuan kewangan boleh meletakkan 20 juta rakyat Afghanistan di bawah kancah kebuluran.

Ini menyebabkan beberapa keluarga menjual anak perempuan mereka di bawah umur sebagai pertukaran untuk mendapatkan makanan.

"Strategi Taliban adalah untuk mengambil tebusan penduduk. Ia adalah strategi yang diikuti oleh rejim diktator. Ancaman kebuluran membolehkan Taliban menekan masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan kembali wang mereka sebagai balasan.”

“Namun, penggantungan kewangan bantuan daripada masyarakat antarabangsa membolehkan ia menekan Taliban supaya hak asasi manusia dihormati dan rakyat diselamatkan,” tegas Victoria Fotan.


ATRIZA UMAR merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.