Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda dakwa PKR tamatkan rundingan, serah keputusan kepada rakyat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi gambaran kemungkinan berlaku pertembungan antara calon parti itu dan PKR di kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Muda sebolehnya tidak mahu ada pertindihan kerusi dengan parti rakan dalam komponen Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Muda telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun pengumuan calon oleh PKR telah menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

"Meskipun begitu, Muda telah menyampaikan niat dan hasrat Muda untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Muda-PKR kepada rakan DAP dan Amanah. Muda juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR.

"Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

"Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 11 Feb lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata bahawa parti itu meminta tiga kerusi untuk ditandingi dalam rundingan bersama PKR bagi menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun, jelasnya rundingan itu dilakukan secara tertutup dan tidak perlu dimaklumkan kepada umum.

"Selalunya rundingan dibuat secara tertutup, saya pun ada maklumkan perkara ini dibincangkan secara tertutup... tapi Muda berikan maklum balas terhadap nama (kerusi) kepada sahabat PKR dan Muda pun dalam rundingan hanya memohon tiga kerusi," katanya selepas pelancaran parti itu di ibu negara pada Jumaat.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata rundingan parti bersama Amanah dan DAP telah berjaya mengelak pertembungan sesama sendiri.

"Muda telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama Muda adalah membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor.

'Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan Amanah, Muda telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi," katanya.