Usah cemari semangat setiakawan, kata PKR pada Muda
PKR Johor hari ini mengingatkan parti lain dalam barisan pembangkang mengenai semangat bersama yang dipegang sejak bertahun-tahun lalu semasa cuba menjelaskan kemelut yang membelenggu menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata dengan semangat itu - sama ada ketika PKR menyertai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan (PH) - tidak berlaku pertindihan kerusi di pihak mereka.
Langkah itu katanya dibuat demi membela rakyat dan masa depan negara.
"Janganlah dicemari semangat tersebut demi tuntutan semata-mata.
"Tumpulah kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya," kata ahli Parlimen Ledang itu petang ini.
Ia dibuat Syed Ibrahim selepas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membayangkan mungkin akan berlaku pertembungan di antara mereka di kerusi tertentu.
Situasi itu berlaku ekoran kenyataan dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pagi tadi. Dalam kenyataan itu bekas menteri berkenaan mendakwa rundingan di antara mereka ditamatkan oleh PKR.
Pada masa sama Syed Saddiq juga berkata, Muda sedia meneruskan rundingan berkenaan dengan PKR.
Kata Syed Ibrahim, siri rundingan PKR - Muda telah dilakukan beberapa kali dan ia dibuat secara jujur dan terbuka atas semangat kebersamaan pembangkang di Johor.
"Tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR telah ditolak dan Muda masih menuntut kerusi yang lain daripada tawaran.
Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang dituntut merupakan kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR. Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai