Skip to main
Logo Malaysiakini

Tukang cuci sekolah tuntut gaji tertunggak lebih 3 bulan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kira-kira 40 pekerja pembersihan sekolah berpiket di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pagi ini, berikutan dakwaan bahawa gaji mereka tidak dibayar selama lebih tiga bulan.

Kata mereka, gaji mereka tidak dibayar oleh majikan-majikan yang mendapat kontrak daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk kerja pembersihan di 16 buah sekolah di sekitar Sabak Bernam, Selangor.

Pekerja-pekerja tersebut membawa plakad menuntut gaji mereka yang tertunggak dan mahu kementerian menyenarai hitam dua kontraktor yang didakwa tidak membayar gaji mereka sejak November 2021.

Antara plakad itu tertera: “Kami nak kerja tetap melalui sekolah”dan “Kami nak tukar syarikat lain”.

Ketika dihubungi, penasihat Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) V Selvam berkata, apa yang berlaku itu adalah pelanggaran Akta Kerja 1955 yang menetapkan majikan perlu membayar gaji dalam tempoh tidak lebih daripada hari ketujuh bulan berikutnya.

“Seramai 53 pekerja pembersihan yang diambil bekerja oleh dua kontraktor tidak menerima gaji dan mereka masih meneruskan kerja-kerja pembersihan harian. Ini adalah buruh paksa.

“KPM mesti bertindak secara proaktif, dan mesti menjalankan audit dengan betul-betul ke atas kontraktor-kontraktor ini bagi memastikan standard dan undang-undang buruh dipatuhi,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu memorandum yang ditandatangani oleh pekerja dan seorang wakil JPKK, para pekerja menuntut gaji tertunggak mereka dan menggesa kerajaan menggugurkan kontraktor yang terlibat.

“Para pekerja hanya menerima gaji minimum RM1,200 dan mereka tidak menikmati kenaikan tahunan. (Membiarkan mereka) Hidup selama tiga bulan tanpa gaji adalah meletakkan mereka dalam kedudukan kewangan yang sangat sulit.

“Kami dengar ada dua ke tiga kes (pekerja) meminjam dari daripada Ah Long ataupun lintah darah,” katanya.

Selvam, yang juga pengerusi PSM Selangor, berkata, pekerja tidak dimaklumkan mengenai sebab gaji mereka tidak dibayar dan mereka juga tidak dapat berhubung dengan majikan.

Dia turut meluahkan kemarahan terhadap PPD, yang dakwanya telah berjanji untuk bertemu pekerja tersebut, namun kemudiannya mengunci pagar depan atas alasan mematuhi SOP Covid-19.

“Pendek kata, ini adalah reaksi yang tidak mesra (hostile reaction),” katanya.

Pun begitu, dia memaklumkan bahawa PPD menerima dan mengambil maklum akan memorandum mereka.

Malaysiakini sudah menghubungi KPM dan salah satu daripada kontraktor berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

Ketika dihubungi, penyelia di satu daripada kontraktor pembersihan memberitahu bahawa syarikat tidak dapat membuat bayaran gaji kerana tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan sejak November lalu.

“Saya diberitahu bahawa wang dari KPM tidak sampai ke PPD,” kata penyelia berkenaan.

“Saya sendiri tidak menerima sebarang gaji sejak November. Saya dah tak dapat nak teruskan kehidupan,” katanya yang tidak mahu namanya didedahkan.

[Baca laporan asal]

Sementara itu Bernama melaporkan satu surat tuntutan telah diserahkan kepada PPD Sabak Bernam supaya pihak tersebut dapat mengambil langkah yang sewajarnya.

Jurucakap PPD Sabak Bernam mengesahkan menerima surat tersebut dan akan menelitinya.

Sementara itu, seorang pekerja pembersihan yang mahu dikenali sebagai Pak Din, 56, berkata ekoran sudah tiga bulan tidak bergaji, beliau terpaksa membuat kerja sambilan dengan mengambil upah menebas dan menjadi tukang rumah.

“Saya terpaksa mencari inisiatif lain bagi menampung perbelanjaan seharian, cukai jalan motor juga sudah dua bulan tertunggak. Bil-bil lain juga tertunggak. Tiada siapa boleh tahan jika kena begini, mahu makan pun perlu dicatu,” katanya.

Seorang lagi pekerja yang mahu dikenali sebagai Kak Fizah, 42, merayu pihak PPD menyelesaikan permasalahan tersebut dan mengambil tidakan segera memandangkan beliau merupakan seorang ibu tunggal yang menanggung empat orang anak.

“Nasib baik ada cikgu-cikgu dan kakitangan sekolah yang membantu. Tapi, sampai bila nak mengharapkan belas ihsan orang lain?” katanya dengan nada sebak.