Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah dana Mitra lebih RM5 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pengarah sebuah syarikat bergelar ‘Datuk’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjumlah lebih RM5 juta, tahun lepas.

L Ragu Raman, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Dia dituduh sebagai pengarah syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah atas harta dana daripada Mitra melibatkan wang RM3,562,725.86, RM300,000, RM500,000, RM300,000, RM400,000 dan RM120,000.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan di Jalan Pasar, Teluk Intan pada 29 Jan dan 18 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM100,000 bagi semua pertuduhan namun peguam S Prekash yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

M Bakri kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama