Lelaki Iraq didakwa bunuh wanita Somalia di KL
Seorang lelaki warga Iraq dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Somalia.
Ali Ahmed Abdullah Al-Maghazachi, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris dan Melayu di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ali Ahmed didakwa membunuh Dahabo Omar Ali di hadapan sebuah premis di Jalan Memanda 1, Taman Dato Ahmad Razali di Kuala Lumpur, pada 11.46 pagi, 13 Feb lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan kes.
Pada Isnin lepas, media melaporkan seorang lelaki warga Iraq yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) ditahan di Jalan Ampang Putra, Ampang pada 11.20 malam (13 Feb) bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita Somalia.
Siasatan mendapati lelaki yang bekerja sebagai pembantu restoran mengenali mangsa berusia 28 tahun itu kerana sama-sama bekerja di sebuah restoran makanan Arab.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai