Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Segera selesaikan isu hak penjagaan anak bawah umur

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Merujuk kepada polemik kes di antara Mohd Redhuan dan Indra Gandhi, dan nasib yang menimpa ibu tunggal Loh Siew Hong yang sedang tular sehari dua ini, saya berpandangan isu ini perlu dicari jalan penyelesaiannya yang segera.

Kegagalan kerajaan menyelesaikan polemik ini bukan sahaja menjejaskan kebajikan dan masa depan anak-anak tersebut.

Malah apa yang lebih parah ialah ia menajamkan kebencian masyarakat bukan Islam ke atas Islam, lebih-lebih lagi apabila isu seperti ini diekploitasi oleh golongan tertentu atas dasar sentimen agama yang sempit, yang disalut dengan kebencian kaum.

Ada beberapa perkara asas yang perlu disegerakan penyelesaiannya apabila sesuatu perkahwinan terbukar selepas salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, atau memeluk Islam selepas pasangan terbabit bercerai.

Perkara asas tersebut ialah:

i. Hak penjagaan ke atas anak anak mereka yang masih bawah umur,

ii. Hak ke atas harta yang diperolehi semasa mereka suami isteri.

Tidak ada sesiapa boleh menguasai, mengubah atau memperlakukan apa-apa tindakan ke atas perkara di atas sehingga satu penyelesaian muktamad ke atasnya diperolehi (kecuali ia dilakukan atas persetujuan kedua-dua belah pihak).

Ini bermakna, selagi hak penjagaan ke atas anak pasangan bukan Islam itu - yang masih di bawah umur - belum mencapai keputusan muktamad, suami/bekas suami atau sebaliknya tidak boleh menyerahkan anak itu kepada pihak ketiga.

Status agama atau mendaftarkan anak itu sebagai telah menukar agama atau sebagainya juga tidak boleh dilakukan.

Sekatan, kekangan atau kelemahan undang-undang berkait perkara tersebut (jika ada) perlu dipinda segera supaya kedua-dua pihak mempunyai kebebasan untuk berhujah dengan seluas-luasnya.

Proses itu perlu diberikan agar pihak yang berkenaan dapat menentukan siapakah yang lebih layak - dan lebih tidak layak - menjaga anak-anak mereka selepas pembubaran perkahwinan akibat anutan agama yang berbeza.

Tanpa penyelesaian isu hak penjagaan ke atas kanak-kanak terbabit, tindakan mendaftar atau menukar status agama anak-anak bawah umur hanya mewujudkan polemik yang berpanjangan.

Seterusnya ia akan menjejaskan kehormonian hidup bermasyarakat dan boleh menyebabkan salah faham masyarakat bukan Islam ke atas Islam.

Kerajaan perlu bertindak bijak agar isu-isu seperti itu tidak terus diekploitasi bagi tujuan sentimen keagamaan yang sempit, selain - yang lebih penting - menambah kebencian kaum akibat perbezaan anutan parti politik.


CHE IBRAHIM MOHAMED ialah bekas kadi, pensyarah dan kini menjadi timbalan pengerusi Amanah Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.