Skip to main
Logo Malaysiakini

Suami isteri ditahan disyaki edar ganja

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran 244 ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM605,000 di sekitar ibu negara, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata kedua-duanya yang berusia 27 dan 29 tahun ditahan pada 7.50 malam menerusi Op Arlene di sebuah kawasan parkir kereta di sekitar ibu kota.

Beliau berkata modus operandi mereka adalah menjalankan perniagaan secara dalam talian dan dipercayai bergiat aktif sejak sebulan lepas.

"Susulan penahanan mereka, polis memeriksa sebuah pangsapuri dan merampas dua mesin memproses dadah, 244 ketulan ganja mampat seberat 242 kilogram (kg) dan tujuh bungkusan dipercayai mengandungi bahan memproses dadah bagi pasaran tempatan.

“Selain itu, pasangan itu juga menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses dadah dan mereka mempunyai seorang anak berusia dua tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur hari ini.

Yahaya berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama ketulan mampat disyaki ganja seberat 10 kg.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM740,000 termasuk peralatan memproses dadah dan kenderaan.

Beliau berkata seorang daripada mereka positif ganja dan kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Katanya mereka kini direman hingga 24 Feb ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama