Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki tunggu bicara mati dalam tahanan polis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang lelaki yang sedang menunggu perbicaraan telah meninggal dunia ketika dalam tahanan polis Kota Tinggi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad (gambar, judul) memaklumkan mangsa didakwa pada 25 Jan lepas atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, memandangkan mangsa tidak membayar ikat jamin, dia ditahan di fasiliti polis dan bukannya penjara kerana wabak Covid-19.

Pada 16 Feb, tahanan dimasukkan ke wad kerana demam dan muntah. Ketika di hospital, dia disahkan positif Covid-19.

"Hasil ujian saringan dilakukan mengesahkan OKT berusia 43 tahun itu positif wabak terbabit sebelum ditahan di wad Covid 19 untuk rawatan lanjut.

"OKT (Orang Kena Tahan) berkenaan disahkan meninggal dunia, jam 4.15 pagi, dan punca sebenar kematiannya masih belum diketahui," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan melakukan siasatan berhubung kes kematian berkenaan," kata Azri lagi.

Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan telah ditubuhkan pada Januari tahun ini.

Jips, sejak akhir-akhir ini kerap mengumumkan kes kematian dalam tahanan yang sebelum ini hanya diketahui melalui keluarga mangsa, aktivis, kumpulan masyarakat sivil dan peguam.

Kematian terbaru dalam tahanan di Kota Tinggi, Johor menjadikan jumlah keseluruhan kematian tahanan bagi tahun ini sebanyak sembilan orang.