'Suami pukul Loh sampai berjahit kepala, patah tangan dan kaki'
Loh Siew Hong berkahwin dengan Nagahswaran Muniandy atas dasar cinta meskipun mendapat tentangan keluarganya.
Ketika berusia 21 tahun, pasangan Loh dan Nagahswaran menimang cahaya mata pertama mereka, anak kembar perempuan.
Suami Loh, sewaktu itu bekerja sebagai juruteknik kejuruteraan di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech.
Loh berkata Nagahswaran seorang yang cemburu dan suka mengawal pergerakannya.
“Saya sangat risau tetapi saya kata kepada diri saya sendiri walau apa pun, saya akan jaga anak-anak ini.
"Tidak banyak sokongan daripada keluarga atau jiran, kerana suami saya sekat saya daripada menghubungi sesiapa," keluhnya.
Pasangan itu kemudiannya berpindah ke rumah mereka sendiri di Taman Kelisa. Tiga tahun kemudian mereka mendapat seorang anak lelaki.
Loh mula bekerja ketika anak lelakinya itu berusia tiga tahun. Dia menjadi pelayan di medan selera di Sungai Petani.
“Suami saya tak pernah bagi satu sen pun, dia hanya bayar sewa rumah dan bil utiliti.
“Tetapi saya menyimpan wang saya dan kemudian bos saya bersetuju untuk menyewakan kedai itu, selepas dua tahun bekerja.
“Saya akhirnya membuka perniagaan nasi campur sendiri. Semasa itu anak kembar saya di sekolah rendah rendah, tahun tiga, dan anak lelaki saya di tadika.
"Saya sangat sayangkan kerja saya. Saya hanya perlu bekerja empat jam untuk dapat RM500 setiap hari," katanya bangga.
Katanya, ini cara dia menyimpan wang untuk pendidikan anak-anaknya.
Bagaimanapun perjalanan gelap Loh bermula pada 2017, apabila Nagahswaran mula menderanya secara fizikal.
Kata Loh, suaminya itu tidak pernah merokok atau minum (alkohol) tetapi mula mengambil dadah (syabu) pada tahun itu.
Dia juga menjadi agresif dan menjadi sangsi terhadap setiap butiran kecil.
"Saya menjaga neneknya yang buta berusia 80 tahun, sambil menjalankan perniagaan nasi campur, dan membantu anak-anak saya membuat kerja rumah pada waktu malam," kata Loh.
Suaminya mula meminta wang daripada Loh tetapi dia berkata pendapatannya tidak cukup.
Pada masa itu, Nagahswaran telah berhenti membayar sewa rumah dan bil utiliti.
"Saya terpaksa bayar segala-galanya. Saya dapat tahu dia ada hubungan sulit dengan seorang wanita India Muslim tetapi saya tidak tahu siapa dia.
“Dia ada hubungan dengan wanita itu selepas saya lahirkan anak lelaki saya, malah jiran-jiran saya pun tahu dan beritahu saya.
“Apabila saya tanya mengenainya, dia pukul saya, dan marah saya kerana dengar cakap orang luar.
"Saya tak mahu tengok dia dengan wanita lain. Ini sangat trauma bagi saya. Jadi, saya biarkan sahaja dia, saya paksa diri untuk terima nasib saya," katanya.
Seret, kerat rambut dengan pisau
Menurut Loh, suaminya menjadi bertambah kasar kepadanya selepas 2017.
Dia cuba mendapatkan bantuan daripada rakan yang sering mengunjungi gerainya. Kenalannya itu mempunyai seorang anggota polis sebagai jiran.
Tetapi si suami mendapat tahu rancangannya itu daripada anaknya.
"Dia sangat marah sehingga seret saya ke belukar dekat rumah saya, tarik rambut saya, dia kerat rambut saya dan mencariknya dengan pisau. Dia patahkan kaki dan tangan saya," dakwanya.
"Dia bawa anak-anak saya bersama, dan ugut dia akan bakar kami semua hidup-hidup. Anak-anak saya takut," dakwanya lagi.
Pada 2019, kata Loh suaminya pernah mengurung dia dan anak-anaknya di rumah serta mengunci meter air selama dua hari.
Menurut Loh, ada kalanya suaminya itu tidak dapat tidur selama berhari-hari akibat kesan dadah.
Nagahswaran juga ganas secara seksual, kata Loh, memaksanya untuk melakukan hubungan seks dengannya, kadang-kadang sebanyak lima kali sehari.
Pada suatu hari, kata Loh suaminya memukul kepalanya dengan tukul, dan sekali lagi mematahkan kakinya.
Dia dimasukkan ke hospital dengan 27 jahitan di kepalanya. Dia akhirnya meminta bantuan ibu mertuanya untuk menghubungi ambulans.
"Saya tidak beritahu dia yang anaknya dera saya. Saya cuma mahu keluar dari rumah".
Nagahswaran menemuinya di hospital dan cuba membawanya pulang, tetapi doktor itu berkata dia perlu dibiarkan sembuh sebelum suaminya itu boleh membawanya pulang.
Suaminya membawa anak-anaknya untuk memujuknya pulang tetapi dia memutuskan sebaliknya.
Di hospital dia bertemu rakan kakaknya, yang terkejut melihatnya dalam keadaan sedemikian.
Dia kemudian membantu menghubungi kakak Loh, yang meminta bantuan Pusat Perubahan Wanita (WCC) di George Town.
WCC menjaganya sehingga kakinya pulih. Semasa mencari perlindungan di NGO, dia mencari pekerjaan.
Dia berjaya mendapatkan pekerjaan di Genting sebagai tukang masak. Dia perlu berdikari daripada segi kewangan jika dia ingin memfailkan perceraian dan menuntut hak penjagaan anak-anaknya.
"Memang banyak cabaran! Tetapi saya terima semuanya," kata Loh, yang kini sedang bercuti tanpa gaji untuk menyelesaikan masalahnya.
Pada Julai 2019, Loh memperoleh hak penjagaan sementara anak-anaknya. Tetapi apabila dia mahu menuntut kembali mereka, polis tidak membantu.
Jiran-jirannya merayu dia untuk menyelamatkan anak-anaknya, bimbang mereka mungkin didera oleh bapanya. Dia segera memfailkan perceraian dan hak penjagaan anak-anaknya.
Menjelang Mac 2021, Loh memperoleh hak penjagaan penuh anak-anaknya.
Suaminya dipenjara dua tahun di Machang, Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah. Dia dijangka dibebaskan pada November.
Sejak itu, Loh berjumpa dengan anak-anaknya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis.
Pasangan kembar itu, kini berusia 14 tahun, sebelum ini ditemui bawah jagaan sebuah NGO Islam dan anak lelakinya, 10, bersekolah di sebuah sekolah Tahfiz di Tasek Gelugor.
Ketiga-tiga mereka telah memeluk Islam secara sepihak oleh si bapa tanpa pengetahuannya.
Tetapi Loh berazam untuk mendapatkan kembali anak-anaknya.
"Ini bukan isu perkauman atau isu politik ke. Tidak ada. Ini betul-betul saya hendak anak saya balik itu saja.
"Tolonglah beri balik anak-anak saya. Walaupun dia orang Muslim ker, Hindu atau Kristian ker, mana-manapun ibu tetap terima," rayu Loh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai