Skip to main
Logo Malaysiakini

MB dari PN mungkin jadi boneka Muhyiddin saja, kata Noor Azleen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Seorang pemimpin Pemuda Umno Malaysia menempelak kempen Perikatan Nasional (PN) yang mahu menjadikan pengerusi mereka, Muhyiddin Yassin, sebagai penasihat ekonomi Johor jika mereka memenangi PRN bulan depan.

Exco Pemuda Umno Malaysia Noor Azleen Ambros berkata idea yang ditawarkan PN itu menunjukkan gabungan terbabit ketandusan tokoh yang layak menjadi pemimpin.

Katanya PN gagal menawarkan pemimpin kepada kira-kira 2.6 juta pengundi di Johor ketika ini.

Lebih daripada itu, Noor Azleen memberitahu, tawaran berkenaan menunjukkan ada satu lagi kegagalan PN.

"Dengan peranan Muhyiddin sebagai penasihat ekonomi Johor, bermakna Menteri Besar Johor daripada PN - jika mereka memenangi PRN nanti - fungsinya tidak lebih sedikit daripada menjadi boneka.

"Menteri besar sebegitu akan sentiasa berada di bawah telunjuk Muhyiddin.

"Pastinya pemimpin yang sebegitu lemah dan rela membiarkan dirinya berada di bawah telunjuk mana-mana individu tidak layak memimpin Johor," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian PRN Johor, manakala pencalonan pula dibuat pada 26 Feb. Bagi pengundi awal mereka akan memilih pada 8 Mac.

Umn-BN dan PN kini sedang menggiatkan kempen masing-masing dengan pelbagai kenyataan serangan ke atas satu sama lain di sebalik kedudukan mereka yang bekerjasama di Putrajaya dan beberapa negeri lain.

Malah sebelum Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Jan lalu, PN dan Umno-BN bekerjasama membentuk kerajaan negeri bagi menafikan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di sebalik mandat yang diperolehi pada 2018.

Noor Azleen juga mempersoalkan mengapa Muhyiddin sendiri tidak bertanding dalam PRN kali ini, sekali gus membuka ruang kepada ahli parlimen Pagoh itu menjadi menteri besar.

Kata ketua Pemuda Umno Pasir Gudang itu lagi, langkah tersebut dibuat selepas Muhyiddin menyedari kesan jika dia turut bertanding.

"Dengan tidak bertanding, setidak-tidaknya Muhyiddin masih lagi boleh memasang angan-angan untuk menjadi calon perdana menteri PN," katanya.