Skip to main
Logo Malaysiakini

'Seperti parasit PAS mengepit, rasa kuasa dua penggal di Selangor'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib Ketua Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer menyifatkan PAS sebagai "parasit" yang meninggalkan perumahnya sebaik sahaja dia mencapai matlamatnya.

Ini selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Muda pimpinan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman cuma umpan ciptaan DAP yang bertujuan memancing sokongan belia Melayu.

Bagaimanapun, Shakir berkata PAS pernah bersekutu dengan DAP dan PKR yang membenarkan parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor.

"Daripada 'mengepit' dengan parti kawan, PAS sempat merasakan kuasa selama dua penggal di negeri Selangor.

"Semasa penggal kedua PAS mula tunjuk belangnya sehingga sanggup mencetuskan konflik di dalam kerajaan negeri Selangor dan sanggup kerjasama dengan Umno dengan mengacau undi semasa PRU ke 14.

"Namun demikian mereka sendiri kalah teruk di Selangor," katanya pada satu kenyataan hari ini.

K’jaan tebuk atap

Menurut Shakir lagi, walaupun PAS sekarang "sebahagian daripada kerajaan tebuk atap, kegagalan mereka sebagai ahli jemaah menteri mula menonjol."

"Dengan cara parti PAS 'mengepit' kepada kerajaan Keluarga Malaysia dan Perikatan Nasional seperti parasit…

“Kita akan melihat pentadbiran kerajaan persekutuan hanya akan bertambah teruk yang akan memberikan akibat yang tidak baik kepada rakyat Malaysia dari segi sosioekonomi.

"Ini hanya akan mencetuskan ketidakstabilan negara," dakwanya.

Semasa pilihan raya umum 2018, PAS mempunyai gabungannya sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Berikutan itu, PAS menandatangani perjanjian Piagam Muafakat Nasional dengan Umno pada September 2019.

Selepas peristiwa "Langkah Sheraton" pada Februari 2020, PAS menjadi ahli gabungan PN menyebabkan hubungannya dengan Umno menjadi renggang.

Bercakap pada perhimpunan di Kota Tinggi, Johor malam tadi, Hadi mendakwa DAP mendapat manfaat daripada Muda dalam cara yang serupa dengan hubungannya dengan Amanah.

"Amanah itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS buat Amanah.

"Sekarang Muda ini pun DAP juga. tak apa lah. Untuk umpan pancing anak muda orang Melayu. Ingat jangan makan umpan," kata Hadi.

Namun, kata Shakir tidak seperti PAS, ahli gabungan Pakatan Harapan tidak menipu sekutu mereka sebaliknya mencari kerjasama dengan rakan yang benar-benar ingin menangani kegagalan BN dan PN.

"Kita juga ingin memastikan golongan kluster mahkamah tidak akan berkuasa semula," katanya lagi.