Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan lulus peruntukan RM300j bina lebuh raya rakyat di Kelantan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi Projek Lebuh Raya Rakyat di Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang membabitkan laluan sejauh 10 kilometer (km).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek lebuh raya yang telah diluluskan di bawah projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu akan mula dibina pada April depan dan dijangka siap April 2025.

"Sebelum ini kerajaan negeri telah menyiapkan lebuh raya ini kira-kira 35 peratus.

"Namun, hasil perbincangan antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sebelum ini, pihak kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyambung pembinaan alih projek ini dan ketika ini sedang di peringkat penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di tapak projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kok Lanas, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mustapa berkata bagi projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan Pakej 2B (dari Ketereh ke Kok Lanas) mengalami kelewatan sebanyak 15 peratus daripada jadual yang ditetapkan dan dijangka siap Oktober depan.

Katanya, antara punca menyebabkan kelewatan pembinaan lebuh raya sejauh 6.2 km itu adalah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah kewangan selain membabitkan isu pemilikan tanah.

"Setakat ini, tiada isu berbangkit tentang kenaikan kos tambahan bagi pembinaan lebuh raya ini.

"Jika mengikut kos awal, ia membabitkan sebanyak RM200 juta namun setakat ini ia hanya menelan belanja RM168 juta..peningkatan kos tidak berbangkit, sebab projek sedang dilaksanakan,” katanya.

Dia berkata projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang melibatkan jajaran sepanjang 67.56 km iaitu meliputi tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025 termasuk projek Central Spine Road.

-Bernama