Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tidak seperti parti lain, BN jelas dengan konsep berkongsi kuasa'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

BN sangat jelas dengan konsep perkongsian kuasa berbanding segelintir parti-parti politik lain yang bertelagah ketika berunding mengenai pembahagian kerusi untuk bertanding pada PRN Johor, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Mengambil contoh PKR dan Muda, dia mendakwa disebabkan keduanya tidak memahami formula perkongsian kuasa yang diamalkan BN, ia telah menyebabkan rundingan mereka berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor gagal mencapai sepakat.

Khaled yang juga ketua Umno Bahagian Pasir Gudang berkata BN bukanlah satu gabungan yang baru tetapi sudah lama dan berpengalaman malah kewibawaannya sudah terbukti sebelum ini dan berharap semua pengundi dapat menerima agenda dibawa iaitu mewujudkan kestabilan.

"Kestabilan itu hanya boleh dicapai melalui BN kerana daripada segi pendekatan BN, kita menekankan kepada soal integrasi bukan asimilasi dan kita juga berasaskan hubungan yang lama dan nilai-nilai yang kita pegang secara bersama,” kata bekas menteri besar Johor itu kepada pemberita di Johor Bahru, malam tadi.

Terdahulu Khaled menerima borang kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Bersatu Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di situ.

Semalam, Muda berkata tindakan PKR mengumumkan 20 calon mereka yang akan bertanding pada PRN Johor telah menjejaskan, sekali gus menamatkan rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

-Bernama