Tiga nama besar rebut jawatan timbalan presiden PKR?
Pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung pada April ini dijangka menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden.
Menurut sumber dari pucuk pimpinan parti, dalam persaingan mengisi jawatan kedua tertinggi PKR, akan ada tiga nama besar yang dicalonkan.
Mereka ialah Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Rafizi Ramli (naib presiden) dan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim).
"Mungkin jumlah calon akan bertambah lagi menjelang pemilihan pada 22 hingga 29 April nanti. Pemilihan ini dianggap penting kerana diadakan selepas insiden Langkah Sheraton," katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod untuk bertanding PKR menyediakan tempoh dari 11 hingga 19 Mac ini untuk pencalonan sebelum proses pemilihan diadakan pada 22 hingga 29 April. Kongres Nasional pula berlangsung selama tiga hari mulai 10 Jun.
Pemenang bagi setiap jawatan akan berkhidmat sehingga 2025.
Buat kali pertama, PKR akan mengadakan pengundian secara dalam talian.
Beri perhatian serius
Langkah Sheraton yang berlaku pada akhir Feb 2020 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan di pertengahan penggalnya walaupun mendapat mandat daripada rakyat.
Ia juga menyaksikan kemunculan kerajaan baru - Perikatan Nasional (PN) - yang dibentuk di luar pilihan raya.
Antara ahli parlimen yang terlibat menjatuhkan PH ialah timbalan presiden PKR sendiri, Azmin Ali, bersama sepuluh ahli parlimen parti berkenaan yang menyertai Bersatu.
Sementara itu Saifuddin ketika dihubungi berkata dia masih belum membuat sebarang keputusan sama ada sedia bersaing untuk merebut jawatan yang ditinggalkan Azmin itu.
"Ada cadangan dari anggota-anggota parti untuk saya pertimbangkan masuk bertanding timbalan presiden.
"Saya akan memberi perhatian serius terhadap cadangan itu," katanya.
Buat masa ini kata ahli parlimen Kulim Bandar-Baharu itu keutamaannya ialah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan memenangkan PH sekalu gus PKR sebagai salah satu parti komponennya.
"Kemenangan PKR dan komponen PH di PRN Johor lebih penting.
"Saya hanya akan membuat sebarang keputusan berhubung pemilihan parti selepas PRN Johor," katanya.
Gerakan di bawah bermula
Sementara itu sumber memberitahu, Saifuddin dilihat sebagai 'orang pilihan' pucuk pimpinan untuk jawatan timbalan presiden berdasarkan pengalaman dan kesetiaan terhadap parti.
Rafizi sebelum ini memberitahu Malaysiakini ada banyak pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum dia membuat keputusan kembali aktif dalam politik.
"Saya akan pertimbangkan dan berunding dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Tuhan," katanya.
Antara pertimbangan yang diambil kira, kata Rafizi, ialah jika kemunculan semula dalam politik itu berbaloi kepada PKR dan rakan partinya yang mungkin kurang senang dengan pendekatan "radikalnya".
Menurut sumber, walaupun Rafizi belum membuat sebarang pengumuman, pengikutnya sudah mula turun ke lapangan untuk mendapatkan maklum balas sentimen anggota PKR.
"Kita akan tahu pendirian rasmi Rafizi pada minggu-minggu mendatang," katanya.
Dalam pada itu, seperti dua pemimpin yang lain, Farhash juga memberitahu dia masih tidak membuat keputusan walaupun mendakwa ada ramai ketua cabang PKR mahu dia bertanding.
"Buat masa ini fokus saya di cabang," katanya yang sudah menyatakan hasratnya untuk bertanding di Gombak dan melepaskan tanggungjawabnya sebagai pengerusi PKR Perak.
Pemerhati berpendapat keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar dan pengerusi PKR Perak adalah langkah strategik bagi membuat persedia bertanding jawatan timbalan presiden.
"Gombak adalah kubu pengkhianat yang menyebabkan kerajaan PH runtuh sekali gus menggagalkan usaha mengangkat Anwar menjadi perdana menteri.
"Gombak juga merupakan kawasan yang mempunyai cabaran yang sangat besar dan memerlukan kekuatan maksimum untuk membersihkan parti daripada anasir pengkhianat," katanya.
Selain itu ada juga nama lain yang tidak kurang besarnya disebut-sebut untuk menyertai saingan berkenaan. Mereka termasuk bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua, dan ahli parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai