Skip to main
Logo Malaysiakini

Premier S'wak: 'Beri kesan psikologi pada rakyat, tapi perlu disusuli tindakan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penukaran gelaran ketua menteri Sarawak kepada premier dilihat banyak pihak sejajar dengan pindaan perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang sama-sama membentuk Malaysia.

Namun, antara hal yang menjadi perdebatan adalah bagaimana penukaran gelaran itu tidak akan membawa perubahan signifikan dari segi bidang kuasa, sebaliknya hanya pembezaan antara ketua eksekutif di Sarawak dengan negeri-negeri lain di semenanjung. 

Meskipun begitu, bagi penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, penukaran itu pastinya mempengaruhi psikologi rakyat Sarawak dalam memberi sokongan kepada gabungan pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Begitupun, katanya lagi, sokongan itu  hanyalah bersifat jangka pendek  jika ia tidak disusuli dengan perubahan yang lebih penting. 

“Apabila penukaran (status) negeri kepada wilayah, ketua menteri kepada premier, ia seolah-olah memenuhi sentimen yang cuba digerakkan oleh GPS, iaitu politik etnonasionalisme (politik bersifat kewilayahan) untuk menarik sokongan rakyat Sarawak.

“Tetapi, ia (sokongan) tidak hanya pada penukaran daripada nama saja. Apa yang rakyat mahukan adalah (perubahan) dari segi jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini

Menurutnya, ada tiga perkara utama yang harus diberi perhatian oleh ketua menteri Abang Johari Openg.

Awang Azman Awang Pawi

Pertama adalah Dana Kedaulatan Sarawak yang disebut dalam PRN Sarawak tahun lalu, dan bagi Awang Azman, ia perlu diumumkan dalam tempoh 100 hari pentadbiran. 

Cadangan dana itu yang diumumkan Abang Johari semasa kempen PRN Sarawak bertujuan memacu ekonomi dan mengukuhkan kewangan Sarawk, selain persediaan jika negeri itu kehabisan sumber petroleum. 

Dana itu dicadang untuk dilabur secara profesional bagi memberikan pulangan kepada negeri. 

“Perkara kedua adalah peruntukan kewangan yang lebih besar daripada kerajaan pusat, sesuai dengan perubahan status daripada negeri kepada wilayah dan ketua menteri kepada premier, agar (perubahan ini) tidak dilihat hanya bersifat kosmetik semata-mata. 

“Ketiga, Sabah dan Sarawak perlu merangkumi satu pertiga daripada jumlah kerusi parlimen untuk memastikan ia mempunyai suara kuat agar kepentingannya terpelihara dan tidak terpengaruh agenda politik di semenanjung Malaysia,” kata pensyarah yang berasal dari Kuching itu lagi. 

Pada 15 Feb lalu, DUN Sarawak meluluskan pindaan perlembagaan negeri bagi menukar gelaran jawatan ketua menteri kepada premier dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.

Antara isu berbangkit semasa sidang DUN itu adalah terjemahan standard  istilah premier dalam bahasa Melayu bagi mengelak kekeliruan dan Perlembagaan Persekutuan yang buat masa ini masih merujuk ketua eksekutif Sarawak sebagai ketua menteri.

Turut timbul adalah gesaan agar Sarawak perlu mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi daripada kerajaan pusat susulan penukaran status wilayah dan gelaran premier. 

Mengulas hal itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Jeniri Amir tidak melihat ia menjadi satu masalah, asalkan ia membawa kebaikan kepada kerajaan negeri dan juga persekutuan. 

“Saya fikir perbincangan ke arah itu sedang dijalankan. Banyak jawatankuasa atau majlis ditubuhkan. 

“Tiada sebab untuk kerajaan persekutuan tidak memberikan autonomi jika dituntut, jika ia memang dapat membantu melancarkan perjalanan pentadbiran dan memacu pembangunan di Sarawak - tanpa tujuan untuk (Sarawak) menuntut kemerdekaan atau untuk keluar dari Malaysia. 

“Selagi autonomi itu memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak - dalam konteks membangunkan Sarawak, merapatkan jurang perbezaan khususnya dari segi pendidikan, kesihatan, kemudahan awam - saya fikir itu harus diberi perhatian,” katanya kepada Malaysiakini.

Senada dengan Awang Azman, Jeniri melihat bagi rakyat Sarawak, apa yang lebih penting daripada penukaran  gelaran adalah bagaimana perubahan itu dapat diterjemahkan kepada usaha bagi menuntut hak negeri.

“Gelaran ini adalah salah satu strategi naratif politik dalam usaha bukan sahaja untuk meningkatkan kedudukan ketua menteri, tetapi juga kedudukan Sarawak di mata rakyat. 

“Lebih-lebih lagi selepas kemenangan besar GPS tempoh hari dan juga usahanya dalam memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan, khususnya berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),’ katanya lagi.

Di sebalik penukaran status dan gelaran itu, tambah Jeneri, tidak kurang penting adalah usaha untuk mengukuhkan integrasi nasional antara semua entiti dalam Malaysia, dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh.

“Saya percaya kerajaan Sarawak sedar akan hal itu,” katanya lagi.